
SIBU: Skuad Antidadah Sibu dengan kerjasama HQ Optical menggerakkan misi bantuan kemanusiaan melalui inisiatif Skuad Prihatin bagi menyantuni ahlinya yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Jeriah Abang Ramli Batu 7 1/2, Jalan Oya, di sini.
Misi berkenaan mencerminkan semangat keprihatinan dan tanggungjawab sosial jawatankuasa Skuad dalam memastikan kebajikan ahli terus terbela, selaras dengan nilai ihsan serta prinsip kebersamaan di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Pemilik HQ Optical, Jeffery Ong Sii Hou hadir menyempurnakan penyampaian bantuan barangan keperluan asas kepada mangsa dalam satu majlis ringkas tetapi penuh makna di lokasi kejadian.
Timbalan Pengerusi Skuad Antidadah Sibu, Mohamad Mostapha Lasot yang mewakili Pengerusi turut serta dalam penyerahan itu bersama Bendahari Skuad, Nur Najwa Yusuf serta beberapa ahli jawatankuasa lain.
Turut tampil menghulurkan sumbangan ialah Rizqi Shop Enterprise serta beberapa individu prihatin yang terpanggil untuk membantu meringankan beban mangsa kebakaran berkenaan.
Menurut Skuad Antidadah, Skuad Prihatin merupakan antara aktiviti tanggungjawab sosial yang dijalankan bagi membantu masyarakat berdepan kesusahan, musibah atau konflik melalui bantuan material, sokongan emosi, khidmat nasihat serta rujukan kepada agensi berkaitan.
Oleh Tarani Lanting