
KUCHING: Pelaksanaan hari pertama Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) di Sarawak berjalan lancar tanpa sebarang aduan diterima setakat ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata tinjauan di beberapa stesen minyak termasuk Shell P.J.S.S Enterprise dan Petronas di Petra Jaya mendapati proses pengisian RON95 melalui sistem berkenaan berjalan baik.
“Segala persiapan telah dilakukan di seluruh Sarawak termasuk membuka kaunter SKPS di semua kawasan sehingga ke Lawas bagi memudahkan orang ramai membuat permohonan dan mendapatkan maklumat,” katanya ketika ditemui media di Shell P.J.S.S Enterprise, hari ini.

Beliau menjelaskan lebih 200 pegawai penguat kuasa KPDN digerakkan ke seluruh negeri bagi membantu pengguna serta memastikan kelancaran pelaksanaan SKPS.
“Kita juga menempatkan petugas di setiap stesen minyak untuk memberi khidmat nasihat dan penerangan kepada orang ramai yang kurang memahami cara sistem ini berfungsi,” ujarnya.
Menurut Matthew, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), kini terdapat ‘pagar KPDN’ di setiap stesen minyak sebagai langkah pemantauan rapi.

“Penguat kuasa kita bertugas setiap hari bagi memastikan RON95 tidak disalah guna atau diisi ke dalam kenderaan asing. Kita juga mahu pekerja stesen minyak menjalankan tugas dengan beretika dan mengelak sebarang salah laku,” tegasnya.
Beliau menambah, KPDN akan terus bekerjasama dengan pengusaha stesen minyak di seluruh negeri bagi memastikan SKPS dapat dilaksanakan dengan berkesan serta mencapai matlamat kerajaan.
Oleh Shikin Mahmud