
SIMANGGANG: Skim Kad Kenyalang Gold (KGC) kini ditambah baik dengan memasukkan Skim Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) Sarawak berjumlah RM500 setiap tahun yang boleh ditebus ketika menerima rawatan di premis rakan strategik Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata penambahbaikan tersebut merupakan antara usaha kerajaan Sarawak untuk terus memperkukuh kebajikan serta kesejahteraan golongan warga emas di negeri ini.
Menurut beliau, kemudahan itu membolehkan pemegang KGC mendapatkan manfaat kesihatan melalui rawatan di klinik atau premis yang menjadi rakan strategik kepada JKMS, sekali gus membantu mengurangkan beban kos rawatan warga emas.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Sejambak Kasih anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Jaya Zon Selatan Kampung Muhibbah yang diadakan di kediaman Ketua Kaum, Shaibi Bakir, di sini, hari ini.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut memuji inisiatif JKKK Kampung Paya Jaya Zon Selatan yang mengambil langkah proaktif membantu meringankan beban golongan memerlukan di kawasan mereka.
Dalam majlis tersebut, seramai 30 penerima terdiri daripada ibu tunggal, balu, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mualaf yang berdaftar dengan JKKK Kampung Paya Jaya Zon Selatan menerima bantuan berupa duit raya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa warga emas digalakkan mendaftar sebagai pemegang KGC sebaik sahaja mencapai usia 60 tahun bagi membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa waris kepada pemegang KGC yang meninggal dunia juga layak menerima Bantuan Ihsan Kematian (BIK) sebanyak RM1,800 bagi tujuan pengurusan jenazah, dengan kemudahan tersebut hanya diberikan kepada warga Sarawak yang mempunyai status âKâ pada Kad Pengenalan mereka.
Terdahulu, dalam ucapan aluannya, Ketua Kaum Kampung Muhibbah, Shaibi Bakir menjelaskan bahawa sumber peruntukan bagi program berkenaan adalah daripada akaun JKKK yang disumbangkan oleh ADUN Simanggang melalui geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Oleh Adi Safarman