
MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menetapkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2025 bagi kawasan Miri dan Marudi bermula 16 hingga 22 Oktober ini, bagi memastikan kestabilan harga serta bekalan barangan keperluan sempena perayaan tersebut.
Tempoh pelaksanaan selama tujuh hari itu melibatkan sembilan jenis barangan harga terkawal, termasuk daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa, bawang dan kacang dal.
Menurut senarai harga yang dikeluarkan, daging kambing biri-biri import bertulang ditetapkan pada harga maksimum RM28 sekilogram (borong) dan RM30 sekilogram (runcit).
Sementara itu, tomato dijual tidak melebihi RM6 sekilogram (borong) dan RM7 sekilogram (runcit), manakala cili merah pula masing-masing pada kadar RM15 dan RM17 sekilogram.
Barangan lain yang turut disenaraikan ialah kelapa biji (RM2 sebiji bagi harga borong), kelapa parut (RM9 sekilogram runcit), bawang merah kecil India (RM5 borong, RM7 runcit), bawang merah kecil India jenis Ros (RM4 borong, RM6 runcit), bawang merah besar import (RM3.50 borong, RM4.50 runcit) serta kacang dal dari Australia (RM4 borong, RM5 runcit).
KPDN dalam kenyataannya menegaskan bahawa semua peniaga dilarang menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan wajib meletakkan tanda harga merah jambu (pink tag) bagi barangan harga terkawal sepanjang tempoh skim berkuat kuasa.
Selain itu, peniaga juga diminta memastikan bekalan mencukupi di pasaran serta menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentu sah bagi mengelakkan sebarang kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum, individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000.
Orang ramai boleh menyalurkan sebarang pertanyaan atau aduan melalui Hotline 1-800-886-800, WhatsApp Aduan Pengguna (019-8488000), laman web www.kpdn.gov.my, atau e-Aduan di e-aduan.kpdn.gov.my.
Oleh Liong Chai Ling