
SIBU: Yayasan Buah Pinggang Sibu (SKF) menerima lima unit mesin dialisis bernilai sekitar RM250,000 daripada Tabung Amanah Kebajikan Kuil Tua Peh Kong Eng Ann Teng Sibu, hari ini.
Pengerusi SKF, Temenggong Dato Vincent Lau berkata, sumbangan tersebut amat bermakna dalam usaha meningkatkan kapasiti serta kualiti perkhidmatan rawatan kepada pesakit buah pinggang.
“SKF telah beroperasi lebih 30 tahun dengan jumlah pesakit pada peringkat awal kurang daripada 20 orang, namun kini meningkat kepada lebih 90 pesakit.
“Peningkatan ini menunjukkan masih ramai pesakit memerlukan rawatan dialisis, termasuk mereka yang berada dalam senarai menunggu,” katanya pada majlis penyerahan mesin dialisis tersebut.
Beliau berkata, bagi menampung keperluan tersebut, SKF telah menambah jumlah syif daripada dua kepada tiga selain meningkatkan bilangan stesen dialisis.
Dalam masa sama, katanya, yayasan turut berdepan keperluan menggantikan mesin lama yang tidak lagi boleh digunakan, justeru sumbangan peralatan baharu amat membantu mengurangkan beban kewangan.
“Sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan, kami amat menghargai sokongan berterusan daripada orang ramai sama ada dalam bentuk kewangan mahupun peralatan bagi memastikan rawatan dapat disediakan pada kos berpatutan tanpa menjejaskan kualiti,” ujarnya.
Tambah beliau, sumbangan tersebut diharap menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk tampil membantu pesakit yang memerlukan rawatan dialisis.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Tabung Amanah Kebajikan Kuil Tua Peh Kong Eng Ann Teng Sibu, Soon Choon Kui.
Oleh Tarani Lanting