
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerima 35,416 permohonan baharu untuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan keputusannya diketahui bermulai Julai nanti.
Jabatan Premier Sarawak dalam satu kenyataan hari ini menyatakan bagi mereka yang layak tetapi tidak tersenarai menerima SKAS, permohonan secara atas talian telah dibuka melalui laman web http://sarawak.gov.my/skas atau di Pejabat Daerah berdekatan bermula 1 Februari hingga 31 Mac 2025.
“Sehingga kini, seramai 886,288 penerima SKAS yang layak. Bantuan adalah secara ‘one off’ dengan nilai RM800 bagi isi rumah, RM250 bagi individu bujang dan RM400 bagi warga emas tiada pasangan.
“Kita juga telah mendaftar lebih daripada 1,200 peniaga di seluruh
Sarawak sebagai merchant SKAS. Oleh itu, penerima SKAS boleh berbelanja di merchant SKAS seluruh Sarawak,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, dengan pelancaran SKAS pada hari ini, maka bantuan SKAS akan mula disalurkan ke akaun S Pay Global penerima secara berperingkat bermula hari ini, 18 Februari 2025.
Ia menyatakan sumbangan itu bertujuan meringankan beban golongan
berpendapatan rendah yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup dan disalurkan melalui e-dompet S Pay Global untuk pembelian barangan makanan asas.
“Jentera kerajaan Sarawak telah melaksanakan sesi libat urus bermula 18 Januari hingga 9 Mac 2025 di 98 lokasi seluruh Sarawak bagi membantu penerima SKAS mendaftar dengan S Pay Global agar mereka bersedia menerima SKAS melalui telefon bimbit masing-masing.
“Sehingga 18 Februari 2025, 564,099 atau 63.6 peratus penerima SKAS telah mendaftar S Pay Global. Bagi penerima SKAS yang belum mendaftar saya menyeru agar segera mendaftar bagi
membolehkan mereka menerima sumbangan ini,” katanya.