
LIMBANG: Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) merupakan bantuan yang amat dinantikan rakyat negeri ini, dan akan disalurkan kepada penerima yang layak bermula 10 Mac ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata hanya dengan menggunakan platform SPay Global, rakyat akan dapat berbelanja untuk memenuhi keperluan keluarga.
Menurutnya kadar bantuan ini dinaikkan seiring dengan keprihatinan kerajaan Sarawak bagi mencerminkan keperluan rakyat serta membantu mereka menghadapi kos sara hidup.
“Dengan paltform Spay global rakyat boleh pergi ke pasar dan boleh digunakan untuk membeli sayur-sayuran, dan sebagainya.

“Bantuan ini dinaikkan daripada tahun lepas, yang mana SKAS hanya RM250 hingga RM850, dan pada Disember lalu, Premier meluluskan kenaikan bajet kepada RM300 hingga RM900 kerana beliau ingin membantu lebih ramai penerima. Kini, keadaan menjadi lebih maju dan makmur.
“Saya sangat yakin ia akan secara progresif membantu lebih ramai orang mendapat manfaat dan jumlahnya akan semakin tinggi, dan pada masa ini Premier turut membelanjakan begitu banyak wang untuk pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis kunjungan Tahun Baharu Cina 2026 di kediaman Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Limbang Michael Tiong dan Temenggung Leong Boong Ming semalam.
Tahun ini Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Datuk Abang Openg mengumumkan peningkatan kadar bantuan SKAS bagi meringankan beban rakyat.
Kategori isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah kini menerima peningkatan bantuan daripada RM800 kepada RM950 setahun, dengan setiap pembayaran berjumlah RM316.
Warga emas tanpa pasangan atau anak dengan pendapatan RM5,000 dan ke bawah pula menerima peningkatan daripada RM400 kepada RM500 setahun (RM166 setiap pembayaran), manakala individu bujang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah menikmati kenaikan daripada RM250 kepada RM300 setahun, bersamaan RM100 setiap pembayaran.
Oleh Adeng Edrus