
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneruskan pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan Dana Wakaf Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif itu menjadi antara agenda sosial utama dalam usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memastikan pembangunan negeri turut dinikmati secara menyeluruh.
“Perkara ini bagi memastikan kebajikan keluarga serta masa depan anak-anak terus terjamin di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030).
“Program seperti SKAS dan Dana Wakaf Sarawak akan terus menyokong keluarga dan melabur untuk masa depan anak-anak kita, supaya setiap rakyat Sarawak dapat bergerak maju bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Ekonomi Sarawak 2025 di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Tambah beliau, inisiatif sosial itu turut dilaksanakan seiring dengan agenda lain di bawah sektor perkhidmatan sosial Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Sarawak.
“Kerajaan negeri akan melaksanakan setiap inisiatif dengan pendekatan berasaskan hasil (results-based governance) bagi memastikan setiap perbelanjaan memberi impak nyata kepada kesejahteraan rakyat.
“Pelaburan melalui SKAS dan Dana Wakaf bukan sekadar bantuan jangka pendek, tetapi merupakan usaha berterusan untuk membina asas sosial dan ekonomi yang mampan bagi generasi akan datang.
“Matlamat kita jelas memastikan pertumbuhan ekonomi negeri turut membawa kemakmuran yang inklusif, tiada rakyat Sarawak yang tertinggal,” tegas beliau.
Oleh Masrin Affirah