
SARIKEI: Seramai 19,924 penerima di Daerah Sarikei menikmati manfaat daripada Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 dengan jumlah keseluruhan peruntukan sekitar RM12.6 juta bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat yang memerlukan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata inisiatif SKAS merupakan satu usaha kerajaan Sarawak yang berteraskan nilai keprihatinan dan kasih sayang terhadap rakyat.
“Inisiatif SKAS adalah satu usaha yang berteraskan nilai keprihatinan dan kasih sayang kerajaan Sarawak terhadap rakyat.
“Inisiatif ini diwujudkan bagi membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pemberian bantuan kewangan yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di atas kepimpinan beliau yang sentiasa memastikan hasil kekayaan dan pembangunan Sarawak dikembalikan semula kepada rakyat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang
Len Talif berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 Daerah Sarikei bagi DUN Kuala Rajang yang diadakan di Dewan Serbaguna, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, semalam.
Tambahnya, penyaluran SKAS di Sarawak pada kali ini melibatkan peruntukan sebanyak RM640 juta berbanding pada tahun lepas sebanyak RM480.2 juta.
“Ini menunjukkan kerajaan yang dipimpin dan diterajui oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) prihatin kepada kehidupan rakyat Sarawak.
“Tahun ini, kadar bantuan bagi kategori isi rumah telah dinaikkan daripada RM800 kepada RM950, manakala kategori warga emas meningkat daripada RM400 kepada RM500 dan kategori bujang daripada RM250 kepada RM300.
“Bantuan SKAS ini akan disalurkan kepada penerima melalui aplikasi SPAY Global dalam tiga peringkat iaitu 10 Mac, Mei dan November,” katanya.
Katanya, penggunaan SPAY Global sebagai kaedah penyaluran bukan sahaja memudahkan penerima bantuan di mana transaksi perniagaan dijalankan menggunakan kaedah digital tanpa tunai ini dapat meningkatkan kecekapan, keselamatan dan senang digunakan untuk pembangunan ekonomi setempat.
“Pelaksanaan SKAS ini juga memberi manfaat kepada perniagaan tempatan.
“Dengan penglibatan perniagaan ini sebagai Merchant SKAS, sektor peruncitan domestik akan dapat diperkukuhkan dan ia membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada rakyat tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan Sarawak sentiasa komited memastikan setiap hasil pembangunan negeri dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat di peringkat akar umbi.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, bantuan seperti ini mungkin kelihatan sederhana, tetapi bagi ramai keluarga ia membawa makna yang sangat besar.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya akan terus memastikan Daerah Sarikei terutamanya di kawasan DUN N41 Kuala Rajang tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemajuan negeri ini.
“Selagi kerajaan Sarawak kukuh dan stabil yang diterajui GPS, selagi itulah kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Sarikei, Louis Yeo Soon Guan dan Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superitendan Aswandy Anis.
Oleh Earl Anek