
SARIBAS: Sejarah penubuhan Sekolah Kebangsaan (SK) Tuie sejak beberapa dekad lalu menjadi bukti komitmen kerajaan bersama masyarakat setempat dalam memperluaskan akses pendidikan kepada anak-anak di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, sekolah itu ditubuhkan hasil usaha dan kerjasama erat antara penduduk Kampung Tuie dengan kerajaan bagi menyediakan peluang pendidikan kepada generasi muda, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan di kawasan berkenaan.
“Pada peringkat awal, SK Tuie beroperasi dengan bilangan murid yang kecil serta kemudahan asas yang sederhana.
“Namun, hasil sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, sekolah ini kini berkembang menjadi sebuah institusi pendidikan yang dilengkapi prasarana moden, tenaga pengajar yang berdedikasi serta mencatat pelbagai pencapaian membanggakan dalam bidang akademik dan kokurikulum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kejohanan Sukan Tahunan SK Tuie 2026 di sini, semalam.

Dr Mohammad Razi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, turut merakamkan penghargaan kepada warga pendidik yang terus komited membimbing dan mendidik murid, selain menghargai sokongan padu ibu bapa terhadap segala usaha pihak sekolah.
“Kejayaan yang dikecapi SK Tuie hari ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat dan kerajaan yang sentiasa berganding bahu memastikan kecemerlangan pendidikan dapat diteruskan demi masa depan generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah atas kejayaan menganjurkan kejohanan sukan tahunan yang disifatkan sebagai platform penting dalam melahirkan generasi murid yang cemerlang dan seimbang.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu membuktikan komitmen sekolah dalam melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam bidang kokurikulum serta memiliki jati diri yang kukuh.
Katanya, sukan merupakan medium terbaik untuk membentuk sahsiah, disiplin dan nilai kepimpinan dalam kalangan murid menerusi semangat kesukanan, kerjasama berpasukan, daya saing yang sihat serta ketahanan mental dan fizikal.
“Nilai-nilai ini amat penting dalam melahirkan insan yang seimbang dan berdaya saing untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berharap semua murid SK Tuie memanfaatkan kejohanan itu sebagai medan untuk menonjolkan bakat, menimba pengalaman dan membina keyakinan diri.
Menurutnya, kemenangan bukanlah matlamat utama dalam sesuatu pertandingan. Sebaliknya, semangat kesukanan, usaha gigih dan sikap saling menghormati merupakan kejayaan sebenar yang perlu diterapkan dalam diri setiap murid.
Oleh Adi Safarman