
KABONG: Sekolah Kebangsaan (SK) To’ Eman Nyabor terus menerima suntikan pembangunan apabila memperoleh geran RM7,000 serta projek naik taraf infrastruktur bernilai keseluruhan RM500,000 bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran dan kebajikan warga sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, bantuan itu diumumkan ketika beliau mengadakan Sesi Randau bersama pihak pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membincangkan keperluan semasa serta hala tuju pembangunan pendidikan di sekolah berkenaan.
Menurut beliau, geran RM7,000 disalurkan bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti pendidikan yang memberi manfaat kepada murid serta membantu memperkukuhkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum sekolah.
Selain itu, beliau turut menyerahkan 300 kerusi plastik kepada pihak sekolah bagi memenuhi keperluan pelbagai program serta menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada pelajar dan warga sekolah.
Dalam sesi sama, Chee Kadir bersama pihak sekolah turut menerima taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana berhubung pelaksanaan dua projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Projek tersebut melibatkan kerja-kerja naik taraf padang SK To’ Eman Nyabor dengan peruntukan RM300,000 serta projek naik taraf dewan sekolah bernilai RM200,000.
Beliau berkata, pelaksanaan projek berkenaan dijangka mampu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selamat dan selesa selain meningkatkan kemudahan untuk aktiviti akademik, kokurikulum dan program komuniti.

“Segala bantuan, geran dan projek pembangunan yang disalurkan ini diharap memberi manfaat besar kepada seluruh warga sekolah serta menyokong usaha melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dan berdaya saing,” katanya semalam.
Chee Kadir turut menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan agenda pembangunan pendidikan di DUN Kabong agar setiap sekolah menerima perhatian serta kemudahan yang sewajarnya
Beliau berkata, pembangunan pendidikan merupakan antara keutamaan kerana kemudahan yang lengkap dan berkualiti mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih efektif kepada anak-anak di luar bandar.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas kelulusan peruntukan bagi projek-projek pembangunan tersebut yang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan sektor pendidikan serta pembangunan luar bandar.
Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan, sekolah, PIBG dan masyarakat setempat akan terus menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan mutu pendidikan demi masa depan generasi muda di kawasan Kabong.
Oleh Adi Safarman