
SARATOK: Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Peter Saratok, yang ditubuhkan pada 1925, menandakan satu abad pencapaian gemilang dalam bidang pendidikan.
Terletak di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Saratok, sekolah ini terus menjadi nadi ilmu bagi generasi muda di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, pencapaian SK Saint Peter tidak hanya diukur melalui akademik, tetapi juga melalui sumbangan alumni dalam pelbagai bidang profesional dan komuniti.
Beliau menekankan bahawa kejayaan sekolah ini adalah hasil daripada komitmen berterusan guru, sokongan ibu bapa, serta semangat pelajar untuk terus maju.
“Seabad bukan tempoh yang singkat. Ia membuktikan ketahanan dan dedikasi semua yang terlibat,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan Larian Santai Sambutan 100 Tahun SK Saint Peter Saratok, di sini, semalam.

Selain akademik, SK Saint Peter turut menekankan pembangunan sahsiah pelajar melalui aktiviti kokurikulum, sukan, dan kepimpinan. Ini memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang di bilik darjah tetapi juga bersedia menghadapi cabaran kehidupan.
Friday turut menggesa masyarakat tempatan untuk terus menyokong sekolah, memandangkan peranan institusi pendidikan seperti SK Saint Peter adalah asas kepada pembangunan generasi masa depan.
Beliau turut mengajak semua bekas pelajar untuk kembali menyumbang kepada sekolah yang telah membentuk mereka, sama ada melalui pengalaman, ilmu, atau bantuan bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan di Saratok.
Dalam majlis tersebut, Friday turut menyerahkan cek geran daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM400,000 untuk tujuan menyiapkan bangunan sekolah dua tingkat yang sedang dalam pembinaan.
Oleh Adi Safarman