SKUAD Sekolah Kebangsaan (SK) Perpat bersedia memberikan cabaran dalam Pusingan Akhir Kejohanan Bola Sepak Malaysia Little League (MLL) Peringkat Kebangsaan Bawah 12 tahun di Bangi, Selangor pada Sabtu dan Ahad ini.
Pengurus pasukan SK Perpat, Norila Gani berkata dia mahu menjadikan pusingan akhir MLL Peringkat Kebangsaan ini sebagai pentas mencipta sejarah pertama pasukan yang mewakili Zon Borneo itu.
“Semestinya kita mahu mencipta sejarah serta impian untuk merangkul gelaran kejuaraan pertama ini. Pemain sudah bersedia untuk turun mengharungi gelora sebenar kejohanan itu kelak,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Norila berkata barisan pemain pimpinan Tadzri Malim itu ketika ini giat mempersiapkan diri dengan fokus kepada meningkatkan tahap kecergasan sejak beberapa bulan lalu.
Dia percaya aspek mentaliti untuk menjadi juara yang diterapkan oleh pemain yang diamanahkan adalah kunci utama bagi membantu mereka membawa pulang kejayaan pada pertandingan itu nanti.
“Saya mengingatkan setiap pemain SK Perpat supaya mempunyai mental kental untuk menjadi juara dan kemenangan dalam setiap perlawanan bagi memastikan kejayaan milik mereka.
“Kalau ada mentaliti untuk menang, kita boleh mencapai kemenangan. Tetapi kejayaan itu tidak datang secara percuma dan begitu sahaja melainkan dengan usaha, memberi segala perhatian, fokus, disiplin, kerja berpasukan dan saling membantu rakan lain dalam pasukan,” katanya.
Sementara itu, dalam aksi pertama SK Perpat (Sarawak) akan menentang pasukan SK Titom, Pahang Sabtu ini, di Padang C Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi pada jam 4.30 petang.
Sebuah lagi pasukan dari Sarawak yang beraksi di peringkat kebangsaan bagi saingan bawah 16 tahun ke bawah iaitu SMK Bakun. Mereka akan menentang pasukan SMK Tun Habab (Johor), di Padang D UKM Bangi pada jam 4.30 petang.
Oleh ADI SAFARMAN