
PULAU BRUIT: Majlis Khatam al-Quran anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Penibong bukan sahaja memberi ruang untuk meraikan kejayaan para pelajar, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturahim antara pihak sekolah, ibubapa dan masyarakat setempat.
Di samping itu, majlis tersebut juga menyemai semangat cinta kepada al-Quran serta nilai-nilai Islam dalam kalangan generasi muda.
Majlis yang berlangsung dengan penuh meriah dan berkat, dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N42 Semop, Datuk Abdullah Saidol.
Dalam ucapannya, Abdullah berkongsi nasihat yang pernah diberikan oleh ibunya semasa kecil dan masih diingati hingga kini.


PESERTA membacakan al-Quran pada Majlis Khatam al-Quran anjuran SK Penibong semalam.
“Jangan berbohong, jangan mencuri, jangan mencerca rezeki (makanan) dan jangan suka mengeluh. Pesanan ibu amat bermakna dan wajar dijadikan pedoman oleh generasi muda masa kini,” katanya.
Menurutnya, nasihat ringkas itu menjadi asas penting dalam membentuk sahsiah diri, menanam nilai kejujuran serta rasa syukur dalam kehidupan seharian.
Dalam pada itu, Abdullah turut meluahkan rasa kecewa tentang keadaan projek naik taraf SK Penibong yang telah lama terbengkalai dan akan sekali lagi membangkit perkara ini kepada kementerian yang berkaitan.
Majlis khatam tersebut menyaksikan seramai 10 murid SK Penibong yang berjaya menamatkan bacaan al-Quran.
Mereka memperdengarkan bacaan suci al-Quran dengan penuh tertib dan khusyuk, menandakan pencapaian penting dalam pembelajaran agama Islam di sekolah tersebut.
Antara pengisian lain dalam majlis tersebut ialah penyerahan cenderahati kepada guru mengaji sebagai tanda penghargaan atas jasa dan tunjuk ajar mereka kepada para pelajar.
Selain itu, turut diadakan ialah majlis tepung tawar serta sesi bergambar kenangan bersama ibubapa, guru mengaji dan para tetamu kehormat.
Turut hadir Guru Besar SK Penibong, Mohd. Musa Morshidi, wakil Pegawai Pedidikan Daerah Daro, Ismail Majelis dan Ketua Kaum Jahari Masni.
Oleh Akun Giman