
JULAU: Dana berjumlah keseluruhan RM18,000 disalurkan bagi menyokong usaha memperkasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) digital di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kara, termasuk pembelian tujuh televisyen pintar.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, berkata sumbangan tersebut diberikan melalui program Baca 15 yang dianjurkan di sekolah tersebut bagi membantu meningkatkan penggunaan teknologi dalam proses PdP sekolah luar bandar.
Katanya, penyediaan televisyen pintar itu diharap dapat memudahkan guru dan murid memanfaatkan teknologi digital yang kini semakin penting dalam dunia pendidikan.
“Saya turut membantu melalui tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah untuk aktiviti mereka.
“Jumlah keseluruhan dana yang saya agihkan hari ini ialah RM18,000,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebooknya, semalam.
Larry yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) turut menyentuh mengenai perkembangan teknologi yang semakin pesat termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan seharian.
“Banyak perkara yang telah berubah, walaupun sekolah kita juga telah berubah tetapi juga masih mengekalkan hutan yang masih hijau, terdapat sungai yang bersih.
“Tetapi teknologi telah banyak berubah, terutamanya AI.
“Mari kita lihat logo SK Nanga Kara yang menggunakan AI berbanding zaman dahulu yang menggunakan masa yang lama untuk mencari idea dan melukis logo,” katanya.
Tambahnya, penggunaan teknologi kini semakin mudah apabila pelbagai maklumat boleh diperoleh dengan pantas melalui peranti digital.
“Sekarang ia boleh dengan cepat menggunakan Chatgpt.
“Tekan sahaja dalam telefon, terus boleh keluar dalam beberapa saat. Ia menunjukkan bahawa teknologi berubah dari hari ke hari.
“Sekarang kita melihat bahawa mesin boleh melakukan sesuatu dan mungkin pada masa hadapan, kita menjangkakan pekerjaan kita akan diambil oleh mesin,” katanya.
Katanya, perkembangan teknologi tersebut menuntut para murid untuk terus mempelajari kemahiran digital agar tidak ketinggalan dalam arus perubahan semasa.
“Oleh itu, saya berharap mereka dapat mempelajari perkara digital dan fokus untuk mempelajari perkara baharu, supaya kita tidak ketinggalan terutamanya yang memerlukan teknologi AI.
“Daripada televisyen pintar, mereka boleh mendapat lebih banyak maklumat dan saya harap para murid kita di luar bandar boleh berjaya seperti murid di bandar,” katanya.
Oleh Earl Anek