
DEBAK: Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Gayau di sini kini menikmati capaian internet berkelajuan tinggi melalui perkhidmatan Starlink VSAT, susulan usaha segera bagi meningkatkan pembelajaran digital di kawasan luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata beliau telah memohon kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, supaya rangkaian gentian optik diperluaskan ke Bahagian Betong bagi memastikan capaian internet lebih pantas dan stabil.
“Keperluan akses internet yang lebih pantas amat penting untuk menyokong pembelajaran digital, pentadbiran sekolah, serta penyampaian bahan pengajaran yang kini semakin bergantung kepada talian stabil.
“Sementara menunggu pelaksanaannya, kami mengambil langkah segera dengan melanggan Starlink VSAT untuk SK Nanga Gayau,” katanya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani dan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid 2025 di Dewan Sri Gayau, hari ini.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban turut menekankan agar kemudahan internet satelit itu digunakan dengan berhemah dan tidak disalahgunakan, termasuk untuk aktiviti perjudian dalam talian.
Pemantauan berterusan serta penggunaan yang berhemah menjadi keutamaan pihak sekolah.
Selain itu, beliau memaklumkan lebih banyak bahan bantuan mengajar akan disalurkan bagi memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran di SK Nanga Gayau.
Turut hadir Ketua Pengarah Biokeselamatan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dr Lornie Enggong, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Rosline Mapong Sabai, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh, Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Mohamad Lela Alamsah, Jurutera Bahagian Betong, Jason Ng, Vicar St Christopher’s Church Debak, Father Erik Riis serta Guru Besar SK Nanga Gayau, Stanley Matthew.
Oleh Adi Safarman