
MARUDI: Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Nibong di Marudi kini berpeluang menikmati kemudahan air bersih hasil pelaksanaan projek AquaSustain oleh Malaysia Airports menerusi program tanggungjawab sosial korporat MYAirportsCARES.
Projek AquaSustain ini merupakan sebahagian inisiatif Malaysia Airports bagi memperkasakan komuniti sekitar lapangan terbang landasan pendek (STOLport) dan dilaksanakan khusus di sekolah angkat mereka, iaitu SK Lubok Nibong.
Kemudahan yang disediakan termasuk pemasangan saluran paip air terus dari punca bekalan utama, bagi memastikan kualiti air bersih dan selamat digunakan oleh seramai 65 pelajar, guru serta kakitangan sekolah.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Sdn. Bhd. (MASB), Kamaruzzaman Razali, berkata projek ini merupakan salah satu komitmen jangka panjang syarikat untuk memperkukuh keperluan asas masyarakat luar bandar.
“MYAirportsCARES memberi fokus kepada tiga tunjang utama iaitu pendidikan, keterangkuman OKU serta seni, budaya dan warisan. Di bawah tunjang pendidikan, SK Lubok Nibong dipilih sebagai sekolah angkat kami bagi menyokong matlamat Kementerian Pendidikan dalam memastikan akses pendidikan berkualiti di kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran MYAirportsCARES AquaSustain di sekolah tersebut, hari ini.
Beliau menambah bahawa pihaknya bukan sekadar menyediakan kemudahan asas, tetapi turut komited membuka peluang dan membina keyakinan pelajar luar bandar.
“Daripada membaik pulih fasiliti sekolah hingga menyediakan bekalan air bersih, kami berusaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selesa supaya setiap anak, tidak kira latar belakang, mempunyai peluang yang sama untuk berjaya,” katanya lagi.
Menurut Kamaruzzaman, meskipun tanggungjawab utama Malaysia Airports adalah menguruskan operasi lapangan terbang, mereka juga melihat kepentingan menyumbang kepada pembangunan komuniti sekitarnya.
Turut hadir Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Matthew Laing Ngau, Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports, Shukreen Ma, Pengurus Lapangan Terbang Miri dan STOLport Marudi, Mohd Jauhari Abdullah serta Guru Besar SK Lubok Nibong, Joseph Kondo Frederick Angai.
Oleh Jiku Juguong