
SARATOK: Sekolah Kebangsaan (SK) Kalaka Central Saratok bakal berwajah baharu apabila kerja-kerja menaik taraf bangunan dan dewan sekolah itu dimulakan tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM250,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, projek berkenaan telah diluluskan pada 2023 dan akhirnya dapat dimulakan pada tahun ini setelah melalui pelbagai proses perancangan dan kelulusan.
“Projek ini merupakan satu komitmen berterusan kerajaan Sarawak untuk memastikan kemudahan pendidikan luar bandar sentiasa dalam keadaan baik dan selesa demi keselesaan serta keselamatan pelajar dan guru,” katanya ketika melakukan lawatan ke tapak projek tersebut dekat sini, kelmarin.
Menurut Friday, pemantauan berterusan perlu dilakukan oleh semua pihak berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, mengikut jadual dan mencapai kualiti yang ditetapkan.
“Setiap sen peruntukan kerajaan perlu digunakan secara berhemah agar hasilnya benar-benar memberi manfaat kepada komuniti setempat, khususnya untuk pendidikan di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar pihak kontraktor dapat menyiapkan projek ini mengikut tempoh yang ditetapkan serta menjaga aspek keselamatan sepanjang kerja-kerja pembinaan dijalankan.
Friday menambah, projek menaik taraf ini dijangka mampu memberi impak positif kepada suasana pembelajaran pelajar dan seterusnya meningkatkan mutu pendidikan di SK Kalaka Central.
Lawatan tersebut turut disertai Pegawai Pembangunan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok, Aziz Morshidi, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok, wakil Pusat Khidmat DUN Krian serta pihak kontraktor yang dilantik.
Oleh Adi Safarman