
MIRI: Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Bintang, Miri telah menerima sumbangan di bawah inisiatif Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi kawasan Parlimen Miri.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata antara sumbangan yang telah disalurkan termasuklah penambahan tiga unit penghawa dingin baharu di bilik guru, pemasangan langsir baharu, serta 80 meja kerja baharu bagi menggantikan perabot lama yang telah usang dan tidak lagi sesuai digunakan.
Beliau berkata, inisiatif ini merupakan hasil kerjasama erat antara Pejabat Parlimen Miri dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Jalan Bintang, yang sama-sama prihatin terhadap keperluan kebajikan warga pendidik dan kemudahan asas sekolah.
“Saya difahamkan bahawa sebelum ini, bilik guru yang menjadi pusat pentadbiran harian para guru mempunyai kekurangan seperti dengan suhu panas yang tidak selesa, langsir lama yang telah lusuh, serta meja kerja yang usang.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan suasana kerja, tetapi turut akan menjejaskan motivasi dan semangat para pendidik.
“Sumbangan ini bukan sekadar memperbaiki prasarana fizikal, malah merupakan satu simbol penghargaan kepada golongan guru yang menjadi teras dalam membentuk masa depan anak-anak Miri.
“Saya percaya bahawa persekitaran kerja yang kondusif adalah asas penting untuk membina tenaga pengajar yang bersemangat dan berdaya saing,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke sekolah berkenaan bagi memantau pelaksanaan projek di bawah inisiatif Projek Mesra Rakyat (PMR) di Parlimen Miri.
Sebagai Ahli Parlimen Miri, Chiew berkata, beliau sentiasa menekankan bahawa akses kepada pendidikan berkualiti perlu disokong oleh infrastruktur dan kemudahan yang mencukupi.
“Sekolah yang selesa akan melahirkan warga pendidik yang cemerlang, dan guru-guru yang cemerlang pula akan melahirkan pelajar yang berpotensi besar,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling