
BEKENU: Sesi pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Beliau Ahad, Tiris terpaksa ditutup hari ini selepas kawasan sekolah dinaiki air akibat banjir kilat yang melanda awal pagi.
Menurut seorang guru sekolah berkenaan, keputusan penutupan dibuat setelah paras air naik melebihi dua kaki, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada murid dan warga sekolah.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus, yang turut melakukan lawatan kerja bagi memantau situasi banjir di kawasan tersebut, berkata dua sekolah dikenal pasti ditutup setakat ini, iaitu SK Beliau Ahad (Tiris) dan SK Beliau Isa (Kelulit).
“Setakat ini saya belum menerima laporan berkaitan pemindahan mangsa banjir. Ibubapa dinasihatkan agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak dalam keadaan banjir kilat ini,” katanya.
Datuk Rosey, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, turut mengingatkan orang ramai agar mendapatkan maklumat terkini daripada sumber rasmi termasuk media sosial pihak berkuasa.
“Jangan sebarkan gambar atau video lama yang boleh menimbulkan kekeliruan. Dokumen penting juga perlu disimpan di tempat selamat dan mudah dicapai sekiranya berlaku kecemasan,” ujarnya.
Turut hadir dalam pemantauan banjir ialah Pegawai Daerah Subis, Norlila Ulis.
Oleh Adum Liu