
LINGGA: Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong kini beroperasi dalam bangunan baharu sepenuhnya setelah projek pembinaan gantian penuh sekolah itu siap dilaksanakan, melibatkan kos RM29.98 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, projek tersebut disiapkan oleh kontraktor R&D Construction Sdn Bhd dalam tempoh 136 minggu dan merangkumi pembinaan enam bilik darjah, asrama berkapasiti 60 murid, kuarters guru, bilik prasekolah serta pelbagai kemudahan lain.
“Sebelum ini, keadaan sekolah sangat uzur dan kurang selamat. Kini warga sekolah, murid dan ibu bapa boleh menarik nafas lega dengan siapnya bangunan baharu ini,” katanya semasa majlis Penyerahan Kunci SK Bakong, hari ini.
Majlis tersebut turut disaksikan wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Mesir Sarap, bekas Guru Besar Isa Reff dan Guru Besar SK Bakong, Dahlan Ham.
Mong memaklumkan bahawa projek pembinaan berjalan lancar dan telah disiapkan sebulan lebih awal daripada jangkaan asal 24 bulan. Beliau sebelum ini turut membuat lawatan tapak bersama Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Seri Doris Sophia Brodie pada Mei 2023.
Turut hadir Yang Dipertua PIBG SK Bakong, Mohd Terang Amit, Penghulu Komiti Mandoh, Kapitan Sim Haw Phian serta ketua-ketua kaum sekitar.
Oleh Adi Safarman