ROBAN: Pengalaman ditembak pada tangan dan perut serta melihat rakan perjuangan terkorban dalam operasi menentang komunis adalah antara peristiwa yang tidak boleh dilupakan sampai bila-bila.
Sarjan (B) Adenan Ini, 68, menceritakan kenangan manis dan pahit paling diingatinya sehingga ke hari ini apabila kejadian tersebut hampir mengorbankan nyawanya.
Pada masa itu, beliau berada di barisan hadapan bersama rakannya lain ketika diserang hendap pasukannya pada satu misi menghapuskan pasukan Komunis di Keramat Pulai dekat Perak.
Pengalaman beliau menyaksikan beberapa rakan seperjuangan ditembak di dada dan tersungkur jatuh di atas pangkuannya, ketika komunis menyerang Daerah Keramat Pulai, Perak pada tahun 1977 begitu menakutkan, namun beliau bangga melakukannya demi untuk mempertahankan kedaulatan negara.
“Ketika itu, bukan sekadar kehidupan, namun nyawa telah dan sedia untuk dipertaruhkan.
“Sebab itulah betapa berharganya erti sebuah kemerdekaan bagi kami bekas tentera, kebebasan dan keamanan yang ada hari ini adalah harta yang paling berharga,” ujarnya yang berasal dari Kampung Nyabor, Kabong.
Beliau yang bertugas selama 21 Tahun iaitu bermula dari tahun 1977-1994 di Kem Suberline Ipoh, Perak itu mengatakan bahawa beliau amat bersyukur kerana masih hidup dan bernafas sehingga sekarang.
Mengimbas kembali keadaan peperangan pada zaman itu, Adenan yang berjuang bersama dengan kekuatan pasukan UCIS 8 RENJER berjuang dengan seramai 30 orang yang diketuai oleh Pahlawan Negara, Pahlawan Negara, mendiang Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau pada ketika itu jawatan beliau iaitu Pegawai Waran 1 untuk menentang pasukan komunis yang bilangannya hanya 15 hingga 20 orang pada masa tersebut.
Menurutnya, kejadian berbalas tembakan mula kedengaran dari dalam kubu musuh arahan dalam bahasa Cina dikeluarkan oleh komunis.
“Pada masa tersebut, mendiang Kanang yang berada di barisan depan berjuang untuk menyerang Komunis tersebut, akhirnya rebah apabila ditembak oleh komunis,” katanya.
PENYELAMAT MENDIANG KANANG
Adenan yang menceritakan pengalaman paling berharga beliau ketika berusaha menyelamatkan mendiang Kanang untuk mara ke depan untuk menyelamatkan rakannya yang telah berkeadaan cedera parah akibat ditembak komunis.
“Semasa saya menyelamatkan mendiang Kanang yang dalam keadaan cedera parah itu, saya turut ditembak dan saya dapati tangan dan perut terburai terkena oleh tembakan dari komunis, oleh kerana semangat yang berkobar-kobar untuk menyelamatkan rakan (mendiang Kanang), saya cuba untuk bertahan,” jelasnya.
Pada masa itu, mendiang Kanang dilihat tidak bermaya dan telahpun rebah dan tidak sedarkan diri ketika beliau (Adenan) menyelamatkannya daripada terus ditembak komunis.
Tambah Adenan, selepas memastikan keadaan benar-benar selamat, beliau membuat keputusan untuk keluar meminta bantuan bersama dua rakan yang lain dan mengarahkan mendiang Kanang untuk diselamatkann dan dibawa ke Hospital Ipoh bagi mendapatkan rawatan.
Adenan menjelaskan, ketika itu semua platun terlibat dalam operasi berkenaan sudah mula bergerak ke lokasi serang hendap bagi memintas pergerakan musuh.
“Saya akan terus terkenangkan peristiwa Keramat Pulai kerana ia banyak memberi semangat dan tunjuk ajar dan kubu yang kami pernah tawan merupakan salah satu kubu kebal musuh dengan kekuatan antara 15 dan 20 pengganas komunis,” katanya.
Tambah Adenan, mendiang Kanang adalah seorang pejuang yang berani mati dan sentiasa bersedia apa jua untuk menghapuskan musuh-musuh yang ada.
“Negara telah kehilangan seorang pahlawan negara yang amat berdedikasi, dan bukanlah mudah untuk mencari seorang lagi tokoh seperti Datuk Temenggong Kanang Langkau, yang meninggal dunia pada tahun 2013 lalu.
“Sarawak dan negara telah menangisi kehilangannya. Beliau adalah seorang wira kerana sebagai anak Sarawak dan anak Malaysia, beliau mengabdikan hidupnya untuk mempertahankan negara kita yang tercinta ini.
“Beliau telah menabur jasa sepanjang kehidupannya lebih-lebih lagi ketika menentang komunis,” ujarnya.
Namun begitu, Adenan yang dianggap ‘Wira tidak didendang’ itu tetap merasa terkilan dan kesal kerana pada suatu ketika dahulu Kerajaan Negeri Perak pernah mencalonkan nama beliau untuk dianugerahkan Pingat Jasa Negara (PJN), tapi sehingga ke hari ini tiada khabar berita.
Apapun, Adenan meletakkan harapan besar kepada generasi muda dan akan datang supaya peristiwa hitam seperti konfrontasi dan rusuhan tidak berulang, sebaliknya perasaan muhibah dan sepakat perlu sentiasa disemarakkan.
Tetapi, beliau agak kecewa terhadap generasi yang lahir selepas Merdeka, yang begitu mudah terjerumus dengan pelbagai masalah sosial dan akhlak menyebabkan beliau merasa bimbang dengan kekurangan bimbingan kepada anaknya.
Oleh Adi Safarman