
SIBU: Sambutan Hari Guru bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya menjadi landasan untuk mengiktiraf sumbangan besar warga pendidik dalam membentuk masa depan generasi muda serta mencorak hala tuju negara.
Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kiang Hin, Kapitan So Teck Kee berkata kejayaan sistem pendidikan berakar daripada ketekunan dan dedikasi guru-guru yang berperanan penting dalam membina asas kukuh di bilik darjah.
“Seorang guru yang baik mampu memberi kesan kepada seorang pelajar sepanjang hayat. Sekumpulan guru yang berdedikasi pula mampu mengubah sebuah masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Guru peringkat sekolah itu di Dewan Serbaguna SJKC Kiang Hin, semalam.
Beliau berkata kekuatan sesebuah bangsa bergantung kepada kualiti guru dan sistem pendidikan yang mantap, justeru peranan guru perlu terus diperkasa seiring perkembangan zaman.
Dalam ucapannya, beliau turut menyeru golongan pendidik supaya terus meningkatkan profesionalisme dan menjadi sumber inspirasi kepada pelajar sepanjang hayat.
“Kita menoleh ke belakang hanya untuk melangkah lebih jauh ke hadapan. Kita hargai masa kini agar dapat menyambut masa depan dengan keyakinan.
“Menjelang ulang tahun ke-100 SJKC Kiang Hin, marilah kita memelihara legasi yang ada, tetapi juga berani bergerak maju dengan inovasi,” katanya.
Mengimbas sejarah 98 tahun penubuhan sekolah berkenaan, beliau menyifatkan SJKC Kiang Hin sebagai institusi yang kaya dengan warisan kecemerlangan dan sentiasa bersedia menerima perubahan, termasuk transformasi digital serta pendekatan pembelajaran abad ke-21.
“Daripada kemudahan moden hingga budaya sekolah yang progresif, komitmen kami terhadap kualiti pendidikan adalah tidak berbelah bahagi.
“Kita semua sama ada ahli lembaga, alumni, guru mahupun ibu bapa merupakan satu keluarga besar Kiang Hin,” katanya.
Kapitan So turut menyuarakan hasrat sekolah dalam menjayakan visi Kiang Hin First yang memberi penekanan terhadap pembangunan holistik pelajar merangkumi enam aspek utama iaitu akhlak, intelek, kesihatan fizikal, kemahiran sosial, estetika dan kreativiti.
Turut hadir memeriahkan sambutan ialah Pegawai Perpaduan Bahagian Sibu, Jendri Mangku dan Guru Besar SJKC Kiang Hin, Ling Ing Kiong.
Oleh Tarani Lanting