
SIBU: Persatuan Wartawan Sibu (SJA) telah menziarahi wartawan Utusan Borneo, Andy Sabang yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Sibu selepas diserang angin ahmar awal pagi kelmarin.
Andy yang juga Penolong Setiausaha SJA antara pengamal media yang sentiasa berdedikasi serta aktif dalam pelbagai liputan lapangan.
Beliau dikenali ramai sebagai seorang rakan sekerja yang mesra dan komited terhadap dunia kewartawanan.
Dalam kunjungan tersebut, Pengerusi SJA Florence Nervyn turut menyampaikan sumbangan bagi pihak persatuan kepada Andy dan keluarga.
Sumbangan tersebut sebagai tanda sokongan dan keprihatinan seluruh warga SJA terhadap ujian yang sedang dihadapi beliau.
“Kami mendoakan agar Andy segera sembuh, terus kuat semangat dan kembali sihat seperti sediakala. Ramai yang merindui senyuman serta gurauan beliau.
“Dunia kewartawanan masih sangat memerlukan insan seperti Andy,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengerusi SJA Mohamad Alhadi Shamsawi, Bendahari Borhaniza Ali Basah, ahli jawatankuasa Akun Giman dan ahli-ahli SJA.
Oleh Akun Giman