
SIBU: Persatuan Wartawan Sibu (SJA) menganjurkan Hari Keluarga SJA 2025 di Taman Tasik Permai, hari ini, sebagai usaha mengeratkan hubungan antara ahli dan keluarga masing-masing.
Pengerusi SJA, Florence Nervyn, berkata kehadiran ahli bersama keluarga menjadikan program itu lebih bermakna dan mengukuhkan semangat kekeluargaan dalam persatuan.
“Program ini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi peluang untuk kita berkumpul sebagai satu keluarga besar SJA, berkongsi gelak ketawa, mengeratkan hubungan serta melepaskan penat lelah kerja seharian,” katanya.
Beliau menambah bahawa sambutan kali ini lebih istimewa kerana diadakan bersempena Hari Malaysia, simbol perpaduan dan kebersamaan rakyat.
“Sama seperti semangat Hari Malaysia, SJA juga kuat kerana kita bersatu hati,” ujarnya.
Dalam pada itu, Florence turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk jawatankuasa penganjur serta mereka yang menyumbang idea, tenaga dan masa.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk berjalan pantas, mengutip sampah sambil berjogging, dan sukaneka, memberi peluang kepada peserta bergembira bersama keluarga dan mencipta kenangan manis.
Oleh Tarani Lanting