
KUCHING: Sarawak kini dalam perancangan untuk menganjurkan Persidangan India Selatan Antarabangsa pertama tahun depan, sebuah konvensyen yang dijangka menjadi platform penting menghimpunkan wanita India Selatan dari seluruh dunia.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, berkata penganjuran konvensyen berkenaan masih di peringkat awal perbincangan dan sedang diteliti oleh pelbagai pihak bagi menilai sama ada ia boleh dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Ini masih di peringkat cadangan. Banyak perkara perlu dibuat terlebih dahulu, termasuk persiapan dan penglibatan pelbagai pihak sebelum kita dapat pastikan sama ada ia dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sejambak Kasih Deepavali di Dewan Persatuan India Kuching di sini, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya konvensyen itu menjadi kenyataan, ia akan menjadi yang pertama seumpamanya di Sarawak dan dianjurkan oleh Persatuan Wanita India Sarawak (SIWA), dengan beliau sendiri sebagai penaung dan penasihat pertubuhan berkenaan.

“Kalau ianya menjadi kenyataan, ini akan menjadi konvensyen pertama anjuran SIWA. Ia besar dan mencabar kerana SIWA merupakan pertubuhan kecil daripada kumpulan minoriti, tetapi berjiwa besar,” jelasnya.
Fatimah menambah, walaupun komuniti India di Sarawak merupakan kumpulan kecil, mereka tetap diberikan ruang dan peluang untuk menonjolkan keupayaan serta memainkan peranan penting dalam masyarakat.
“Ia membuktikan bahawa walaupun minoriti, wanita India juga mempunyai kehendak dan peluang untuk menganjurkan sesuatu yang besar.
“Di Sarawak, kita tekankan nilai keterangkuman, semua kumpulan ada ruang dan suara,” ujarnya.
Beliau turut berharap cadangan itu dapat direalisasikan dengan sokongan semua pihak sekali gus memperlihatkan kemampuan wanita India Sarawak untuk tampil di pentas antarabangsa.
“Kita sama-sama berdoa agar cadangan ini menjadi kenyataan,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat