KUCHING: Sebanyak 752 kes baharu (61.8 peratus) dilaporkan di Bahagian Kuching diikuti Bahagian Serian, 236 kes (19.4 peratus) dan Bahagian Samarahan, 101 kes (8.3 peratus).
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dato Dr. Mohamed Sapian Mohamed berkata, dua kematian telah dilaporkan semalam iaitu masing-masing satu kes di Daerah Kuching dan Daerah Serian.
Menurutnya, kedua-dua kes tersebut belum menerima imunisasi Covid-19 yang lengkap dan berkomorbid.
“JKNS ingin memaklumkan bahawa pada 12 Ogos (Khamis), sebanyak 1,216 kes baharu Covid-19 di Sarawak.
“Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang telah dilaporkan setakat ini adalah berjumlah 84,603 kes. Bilangan kes harian ini merupakan rekod tertinggi pernah dilaporkan oleh Sarawak sejak wabak bermula pada Mac 2020,” katanya, menerusi satu kenyataan semalam.
Dr. Mohamed Sapian menyatakan bahawa perebakan kes ini boleh dikaitkan dengan beberapa faktor termasuk aktiviti berkumpul secara sosial dan keluarga, majlis sambutan hari jadi atau perpisahan, majlis pengebumian dan tahlil, aktiviti sukan berkumpulan, bermesyuarat secara fizikal serta jangkitan di tempat kerja yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Masih ramai lagi individu yang didapati melepak di tempat awam dan berbual-bual di tempat makan tanpa memakai pelitup muka.
“Selain itu, terdapat juga majikan yang masih enggan membenarkan pekerja mereka menjalani saringan atau bekerja dari rumah apabila mereka mempunyai gejala sehingga tercetusnya kluster di tempat kerja,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO