
Dua ambulans rosak selepas Israel menyerang kem al-Maghazi ditengah Semenanjung Gaza . Foto AFP.
RAMALLAH: Doktor Tanpa Semapadan Borders (MSF) mengecam situasi ‘sangat genting’ susulan operasi ketenteraan Israel ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat, menyebabkan penduduk terpaksa berpindah.
Operasi rejim Zionis itu bermula dua hari selepas perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza, antara tentera Israel (IDF) dan Hamas di wilayah Palestin berkenaan.
Pengarah Operasi MSF, Brice de la Vingne menyifatkan, situasi rakyat Palestin yang terpaksa berpindah ‘sangat genting’, selain memaklumkan mereka ‘tidak mempunyai perlindungan sesuai, perkhidmatan asas dan akses penjagaan kesihatan’.
Beliau berkata, skala pemindahan paksa dan pemusnahan kem di Tebing Barat ‘belum pernah dilihat sejak beberapa dekad lalu’, selain menegaskan isu kesihatan mental sangat membimbangkan.
“Orang ramai tidak dapat kembali ke rumah kerana akses ke kem disekat, selain IDF memusnahkan rumah dan infrastruktur. Israel mesti menghentikannya dan tindak balas kemanusiaan perlu dipertingkatkan,” katanya.
Operasi dikenali sebagai ‘Dinding Besi’ itu menyasarkan tiga kem pelarian, masing-masing Jenin, Tulkarem, dan Nur Shams, selain Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pada Februari lalu, dilaporkan berkata ia akan berlangsung selama beberapa bulan.
Berdasarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 40,000 penduduk terpaksa berpindah sejak 21 Januari lalu, apabila IDF melancarkan operasi menyasarkan kumpulan bersenjata Palestin di utara wilayah itu.
Tebing Barat diduduki Israel sejak 1967, menempatkan kira-kira 3 juta rakyat Palestin serta hampir 500,000 rakyat Israel yang mendiami penempatan dianggap haram mengikut undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, IDF menerusi kenyataan berkata, operasi mereka dilakukan ‘dalam realiti keselamatan yang kompleks, selain menyasarkan semua organisasi pengganas, termasuk Hamas’.
“IDF mematuhi undang-undang antarabangsa dan mengambil langkah berjaga-jaga yang munasabah untuk mengurangkan kemudaratan kepada individu tidak terbabit,” katanya. – AFP