
KUCHING: Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai, menafikan sebagai tidak benar satu mesej WhatsApp tular yang mendakwa terdapat jumlah kes denggi yang tinggi di MJC, termasuk pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi serta kematian.
Tan Kai berkata mesej tersebut telah menimbulkan panik yang tidak perlu dalam kalangan penduduk dan menegaskan bahawa maklumat yang disebarkan itu adalah tidak benar.
“Tiada kematian akibat denggi dilaporkan di kawasan MJC seperti yang dinyatakan dalam mesej tular tersebut. Orang ramai tidak seharusnya menyebarkan maklumat yang tidak disahkan kerana ia boleh menimbulkan ketakutan dalam komuniti,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Sehingga 2 Mac, Tan berkata sebanyak 11 kes denggi telah direkodkan, melibatkan kawasan Ensing Timur di Batu Kawa.
Beliau memberi jaminan bahawa keadaan masih terkawal dan Majlis Perbandaran Padawan sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Awam untuk menjalankan operasi pengasapan di kawasan terjejas bagi membendung penularan penyakit itu.
Tan Kai turut menggesa penduduk memainkan peranan masing masing dalam mencegah denggi dengan memastikan persekitaran sentiasa bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.
“Orang ramai perlu memeriksa dan menghapuskan air bertakung dalam bekas, pasu bunga, longkang serta barangan terbuang di sekitar rumah. Pencegahan bermula dari setiap isi rumah,” nasihatnya.
Beliau mengingatkan bahawa denggi adalah penyakit serius yang disebarkan oleh nyamuk Aedes dan boleh menyebabkan komplikasi teruk jika tidak dirawat awal. Antara simptomnya ialah demam panas, sakit kepala teruk, sakit sendi dan otot, loya serta ruam.
Tan menggalakkan individu yang mengalami simptom supaya segera mendapatkan rawatan perubatan dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa kesihatan semasa pemeriksaan serta aktiviti pengasapan dijalankan.
“Mari kita bersama sama memastikan kawasan kejiranan kita selamat. Jangan panik, sebaliknya kekal berwaspada dan bertanggungjawab,” katanya.
Oleh Connie Chieng