KABONG: Inisiatif tanpa tunai yang diperkenal Bank Simpanan Nasional (BSN) bukan sahaja akan memudahkan urusan harian masyarakat, malah meningkatkan keselamatan dan kecekapan dalam menjalankan transaksi perniagaan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, inisiatif itu sebagai komitmen untuk bergerak seiring dengan kehendak semasa yang menuntut kaedah perbankan yang pantas, cekap dan selamat.
“Yang paling penting adalah memenuhi keperluan serta trend terkini yang akan memudahkan pelanggan BSN,” katanya ketika melancarkan Inisiatif Tanpa Tunai BSN di pusat penjaja di sini, hari ini.
Fadillah berkata, Kabong yang terkenal dengan sektor perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PKMS) dengan produk hasil laut yang begitu sinonim seperti udang, ketam serta makanan tradisi suman lemantak atau sagu digalakkan menggunakan sistem tanpa tunai.
Beliau percaya, pengusaha terbabit yang berjaya memasarkan serta mempromosi produk-produk keluaran mereka di laman media sosial seperti Facebook dan Tik-Tok.
“Justeru, pengusaha ini memerlukan mekanisme yang akan membolehkan mereka menjalankan urusan jual-beli yang pantas serta selamat.
“Di sini kita melihat peranan penting yang dimainkan oleh inisiatif tanpa tunai yang diperkenal BSN dalam memangkin serta memperkasakan PKMS melalui kaedah transaksi tanpa tunai yang lancar serta efisyen bagi kedua-dua pihak,” katanya.
Daerah Kabong, katanya, turut mempunyai potensi tinggi untuk diketengahkan sebagai ‘Bandar Pelancongan’ di negeri ini.
Justeru, dengan ada lokasi serta tempat penginapan sedia ada dan yang bakal diadakan untuk merancakkan industri pelancongan, pengusaha perlu memperkenal serta mempraktikkan sistem tanpa tunai bagi memboleh serta memudahkan para pelancong, baik tempatan mahupun dari luar negara.
Sistem tanpa tunai, katanya, akan membolehkan pelancong menempah serta membuat transaksi pembayaran tempat penginapan atau sewaan kenderaan tanpa perlu menggunakan tunai.
Malah, kerajaan Sarawak sendiri telah memperkenalkan aplikasi dompet elektronik atau e-Dompet yang dikenali sebagai ‘S Pay Global‘ (Sarawak Pay), katanya.
Aplikasi e-Dompet Sarawak Pay itu, katanya, merupakan idea kerajaan Sarawak bagi mengubah gaya hidup warganya ke arah transaksi tanpa tunai.
Konsep yang diperkenalkan oleh BSN ini adalah selari dengan visi kerajaan Sarawak dan menerusi data yang dikeluarkan oleh Lembaga Multimedia Sarawak pada 2022, lebih daripada 590,290 pengguna berdaftar dan 85,445 peniaga di seluruh negeri merekodkan transaksi bernilai RM1.8 bilion sejak dilancarkan pada 2017, kata Fadillah.
S Pay Global juga bekerjasama dengan BSN untuk menyediakan perkhidmatan transaksi dalam talian kepada penduduk yang tinggal di luar bandar menerusi ejen lantikan bank, dan ini bererti kepercayaan kerajaan Sarawak terhadap BSN dalam menyediakan perkhidmatan perbankan terbaik dan tidak diragui.