
LABUAN: Pengoperasian Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) ANKA-S Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disifatkan sebagai lonjakan strategik dalam memperkukuh pertahanan dan pengawasan maritim negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, aset berkenaan mampu menyediakan liputan operasi yang sebelum ini tidak wujud terutama di kawasan maritim strategik termasuk Laut China Selatan, sekali gus memberi Malaysia kelebihan maklumat kritikal dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
“Ia (ANKA-S) menyediakan liputan operasi yang tidak pernah wujud sebelum ini di kawasan maritim yang paling dipertikaikan di dunia. Memberi Malaysia kelebihan maklumat… apa yang kita dapat daripada ini, kelebihan maklumat yang kritikal yang boleh bantu kita dalam menggubal dasar-dasar keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Peluncuran Aset UAS MALE pesawat ANKA-S No 11 Skuadron di Pangkalan Udara Labuan TUDM di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia memperoleh tiga pesawat ANKA-S bernilai RM423.8 juta, termasuk stesen kawalan darat serta latihan kepada anggota selama dua tahun.
Beliau berkata pesawat ANKA-S mampu melakukan penerbangan melebihi 24 jam pada ketinggian operasi hingga 30,000 kaki dan penempatannya di Pangkalan Udara Labuan adalah bagi memperkukuh pengawasan di kawasan Laut China Selatan.
“Pendek kata, dengan adanya ANKA-S ini kita dapat ataupun TUDM dapat mengekalkan mata dan telinga negara kerana mampu untuk lakukan operasi secara berterusan dan pada kedudukan yang mungkin tidak dapat nak dikesan dan dalam sebarang keadaan,” katanya.
Aset berkenaan juga, katanya mampu mengecam dan menjejak profil kapal secara tepat, sekali gus membolehkan TUDM merancang serta mengatur gerak aset dengan lebih efisien ke lokasi pencerobohan tanpa perlu melaksanakan rondaan tidak bersasar.
Beliau berkata, penggunaan pesawat ANKA-S turut membantu mengurangkan kos operasi berbanding keperluan mengoperasikan pesawat pejuang atau kapal peronda maritim bersaiz besar bagi tujuan pemantauan.
“Ia dapat merancang dan mengatur gerak aset dengan lebih efisien, tepat ke lokasi pencerobohan tanpa perlu melakukan rondaan yang tidak bersasar ataupun rondaan buta yang membazirkan sumber dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut bercadang untuk memperoleh tiga lagi pesawat ANKA-S menerusi fasa kedua dan perkara itu akan dimohon dalam perancangan Malaysia sedia ada.
Mohamed Khaled berkata, pesawat ANKA-S mempunyai kemampuan membawa senjata, namun Malaysia memilih untuk tidak berbuat demikian sebagai isyarat bahawa postur pertahanan negara adalah bersifat defensif dan bukan untuk menyerang mana-mana negara.
Terdahulu, beliau turut melawat Data Exploitation Center dan menyaksikan demonstrasi secara langsung aset UAS ANKA-S melaksanakan misi perisikan, pengawasan dan tinjauan di sekitar kawasan operasi.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dan Panglima Angkatan Bersama Lt Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim. – Bernama