Sistem pendingin hawa, masalah kulat di Hospital Sibu ditambah baik  

Facebook
WhatsApp
SEKITAR tinjauan dan pemeriksaan oleh pegawai-pegawai berkenaan di Hospital Sibu baru-baru ini. Foto LAMAN RASMI HOSPITAL SIBU  

SIBU: Isu berkaitan sistem pendingin hawa dan masalah kulat di Hospital Sibu telah dikenal pasti dan sedang dianalisis bagi tujuan penambahbaikan.

Menurut kenyataan Laman Rasmi Hospital Sibu, penilaian itu dibuat susulan lawatan kerja pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dari 17 hingga 19 Februari lalu.

Lawatan tersebut disertai empat pegawai daripada Cawangan Kerja Kesihatan dan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal JKR, iaitu Ir. Rohaya Abdul Mois, Khairuddin Ibrahim, Wan Muhammad Zafri Wan Yahya dan Afiq Mohamad Johari.

Mereka meninjau keadaan wad rawatan serta Dewan Bedah bagi meningkatkan fasiliti hospital itu.

SEKITAR tinjauan dan pemeriksaan oleh pegawai-pegawai berkenaan di Hospital Sibu baru-baru ini. Foto LAMAN RASMI HOSPITAL SIBU

Terdahulu, pada 6 Februari lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, semasa lawatannya ke Hospital Sibu, mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM7.8 juta bagi menangani masalah kulat yang telah lama berlaku di hospital berkenaan.

Beliau berkata, dana tersebut akan digunakan untuk penyelesaian secara menyeluruh, termasuk peruntukan tambahan sebanyak RM1.3 juta untuk perolehan peralatan perubatan dan kerja-kerja baik pulih.

“Ini merangkumi RM900,000 bagi pembelian peralatan dan RM400,000 untuk kerja-kerja berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut.

Oleh Tarani Lanting