
BINTULU: Kebakaran kecil melibatkan sebuah kotak suis di dalam premis optik di sebuah pusat beli-belah di sini awal pagi tadi berjaya dikawal tanpa melibatkan sebarang kecederaan.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.35 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi kejadian.
Jentera bomba tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai sebelum dimaklumkan pengawal keselamatan mengenai kebakaran melibatkan kotak suis di sebuah kedai optik.

“Pemeriksaan mendapati kebakaran hanya melibatkan mesin laci mesin juruwang di dalam premis tersebut.
“Kebakaran bagaimanapun telah berjaya dipadamkan lebih awal oleh sistem pemercik air automatik (sprinkler) bangunan sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan keselamatan sementara menunggu pihak penyelenggaraan membuka premis bagi tujuan penilaian lanjut.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.