KUALA LUMPUR: Penilaian skop pengauditan terhadap pengurusan sistem landasan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 1 telah mencapai objektif yang ditetapkan bagi menyampaikan sistem MRT yang efektif, efisien, bersepadu dan selamat kepada pengguna.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3, pengauditan melibatkan penilaian terhadap pengurusan sistem landasaan MRT Laluan 1 untuk tempoh dari 16 Dis 2016 hingga 31 Jan 2019, melibatkan dua bidang utama iaitu prestasi dan pengurusan sistem landasan itu.
Katanya kerajaan telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM21.35 bilion bagi kos pembinaan projek yang meliputi semua pakej kerja termasuk RM4.05 bilion untuk 12 pakej kerja sistem.
“Kemudahan ini memberi peluang kepada orang awam untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan mudah dan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pelepasan karbon dengan ketara,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan sistem MRT yang kurang cekap dan kurang berkesan seperti kerosakan yang masih belum selesai walaupun tempoh masa kecacatan (DLP) telah tamat selama 182 hari setakat 14 Jan 2020 serta kerosakan berulang, menurut laporan itu.
Katanya kejadian kelewatan ketibaan Electric Train (ET) yang berlaku boleh memberi kesan terhadap tahap kepuasan pengguna.
Sehubungan itu, pihak Audit mengesyorkan enam perkara yang perlu diambil perhatian oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Prasarana untuk mengatasi kelemahan yang dibangkitkan agar perkara sama tidak berulang dalam pengurusan sistem MRT serta pelaksanaan projek MRT Laluan 2.
“Pertama, MRT Corp hendaklah memastikan pembaikan segera diambil oleh Work Package Contractor (WPC) terhadap semua kerosakan yang dilaporkan terutama bagi empat pakej kerja sistem yang dibangkitkan serta menetapkan tempoh pembaikan kerosakan,” katanya.
Kedua, MRT Corp hendaklah menguruskan pembaikan kerosakan dengan cekap dan berkesan agar kerosakan sama tidak berulang.
Seterusnya, MRT Corp hendaklah membuat kajian terperinci berkaitan isu-isu pembaikan yang memerlukan penyelesaian kekal bagi memastikan isu tidak berulang selepas Sijil Perakuan Siap Membaiki Kecacatan (CMGD) dikeluarkan.
“Keempat, MRT Corp hendaklah memastikan semua masalah berkaitan Sistem Pengurusan Penyenggaraan Berkomputer (CMMS) diselesaikan oleh WPC supaya sistem tersebut dapat digunakan sepenuhnya oleh Rapid Rail bagi pengurusan dan pemantauan kerja penyenggaraan lebih berkesan.
“Selain itu, MRT Corp hendaklah meminda prosedur DLP mengikut pelaksanaan semasa dan mengkaji semula prosedur bagi memastikan kerosakan dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
Keenam ialah Prasarana perlu memastikan pengurusan aduan ditambah baik dengan mewujudkan mekanisme untuk mengukur tempoh penyelesaian aduan bagi meningkatkan pengurusan perkhidmatan, katanya. – Bernama