

LAWATAN…. Dato Mohd Chee Kadir semasa melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Kabong dekat sini hari ini. Foto Pusat Khidmat ADUN Kabong
KABONG: Usaha memperkukuh sistem kesihatan di kawasan luar bandar terus mendapat perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menyerahkan beberapa sumbangan kepada Klinik Kesihatan Kabong dalam satu majlis ringkas hari ini.
Sumbangan tersebut merangkumi alat penimbang bayi, lampu solar, serta Geran Khas kerajaan Sarawak berjumlah RM10,000.00 yang diserahkan kepada Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kabong bagi menyokong pengurusan serta penambahbaikan perkhidmatan klinik berkenaan.
Majlis penyerahan yang berlangsung di Klinik Kesihatan Kabong turut dihadiri oleh Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Kabong, Dr. Mohamad Abu Zar Abdul Halim, Pengerusi Panel Penasihat Klinik, Bujang Lee, Penghulu Sani Mohd; Penghulu Rahman @ Dom Kapok, ahli-ahli panel serta tetamu jemputan.
Dalam ucapan beliau, Chee Kadir menekankan bahawa pendekatan menyantuni pesakit luar bukan sekadar satu tanggungjawab sosial, malah menjadi platform untuk mendengar sendiri pandangan dan keperluan masyarakat berkaitan perkhidmatan kesihatan.
“Kita mahu pastikan fasiliti kesihatan di kawasan luar bandar terutamanya di Kabong sentiasa diberi perhatian dan ditambah baik, agar rakyat dapat menikmati kemudahan yang selesa dan berkualiti,” ujar beliau.
Beliau turut meluangkan masa menziarahi pesakit luar yang hadir untuk pemeriksaan susulan serta meninjau beberapa keperluan asas di klinik berkenaan yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan.
Sebagai langkah segera, Chee Kadir turut meluluskan permohonan penyaman udara mudah alih dan lampu solar tambahan untuk beberapa bilik rawatan dan bilik sokongan bagi meningkatkan keselesaan pengguna serta kecekapan operasi klinik.
Oleh Adi Safarman