
PADAWAN: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dengan kerjasama Jabatan Hutan (Sarawak Delta Geopark) telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan untuk penganjuran Program Kesedaran dan Pengurusan Geohazard bagi Daerah Kecil Padawan yang akan dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Bernard Sadir.
Salah satu perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah cadangan pemasangan Sistem Amaran Awal Bencana Geologi Tanah Runtuh EWS di kawasan Annah Sadir, sebuah kawasan yang sering berisiko tinggi terhadap kejadian tanah runtuh.
Di kawasan yang terdedah kepada risiko tanah runtuh seperti Annah Sadir, pemasangan EWS bertujuan untuk memberikan amaran awal kepada penduduk dan pihak berkuasa sekiranya terdapat pergerakan tanah yang mencurigakan.
Sistem ini melibatkan tolok hujan telemetri dan pengesan pergerakan tanah yang akan berfungsi untuk memberi amaran tepat pada masanya, membolehkan tindakan segera diambil untuk melindungi keselamatan penduduk.
Projek ini yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Bencana Geologi Negara dan Bahagian Perkhidmatan Teknikal JMG, menjadi langkah proaktif untuk mengurangkan risiko tanah runtuh, terutamanya pada musim monsun.
Turut dibincangkan ialah langkah-langkah susulan termasuk sesi libat urus dengan penduduk kampung yang terlibat.
Dalam pada itu, cadangan pemasangan EWS ini menonjolkan komitmen berterusan pihak JMG dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan berisiko tinggi.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap, Ketua Kaum Kampung Annah Sadir Boby Ham William serta tetamu kehormat yang lain.
Dengan pemasangan EWS di Annah Sadir, diharapkan kawasan ini dapat menjadi model terbaik dalam pengurusan geohazard dan memberi manfaat kepada penduduk dalam menghadapi risiko tanah runtuh yang semakin meningkat. – UKAS