
KUCHING: Cadangan penganjuran Sirkit Regata Sarawak mulai tahun hadapan diyakini mampu memartabatkan sukan air tradisional sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, pengumuman Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung penganjuran sirkit tersebut tepat pada masanya memandangkan regata mempunyai nilai tradisi dan potensi ekonomi yang besar.
“Regata bukan sekadar perlumbaan perahu, ia adalah tradisi turun-temurun yang mendekatkan kita semua tanpa mengira bangsa dan agama. Dalam suasana regata, kita berkumpul, bergembira dan bersama-sama menyokong pasukan masing-masing. Inilah semangat Sarawak yang kita banggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, regata wajar diberi perhatian lebih tersusun kerana ia mampu menjadi pemangkin ekonomi, memberi peluang kepada peniaga kecil serta mengangkat nama Sarawak di mata pelancong luar.
Mengimbau sejarah, katanya, regata di Sarawak bermula seawal 1872 pada era pemerintahan Rajah Charles Brooke, menjadikannya antara acara sukan tradisional tertua yang terus hidup hingga hari ini.
“Tradisi ini perlu diperkukuh agar kekal relevan dengan zaman. Kita juga boleh mencontohi kejayaan Pacu Jalur di Riau, Indonesia yang sudah terkenal di peringkat dunia,” jelasnya.
Hamzah yang juga peminat tegar lumba perahu berkata, beliau sendiri mempunyai pasukan dikenali sebagai Pasukan Perahu Udak, yang memberinya pengalaman langsung mengenai keunikan dan potensi besar regata.
Menurutnya lagi, Sirkit Regata Sarawak turut berpotensi menarik penyertaan pasukan dari negara jiran seperti Kalimantan dan Brunei sekali gus memperkukuh hubungan serantau.
“Dengan adanya sokongan kerajaan negeri, teknologi moden serta penglibatan sektor swasta menerusi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR), regata mampu berkembang lebih jauh dan menjadi sukan rakyat yang membanggakan kita semua,” ujarnya.
Beliau turut menggesa syarikat korporat dan pihak swasta tampil memberi sokongan dalam penganjuran sukan air tradisional itu yang memerlukan kos agak tinggi.
“Saya yakin dengan adanya Sirkit Regata ini, Sarawak akan melangkah ke tahap baharu dalam memartabatkan sukan air tradisional, selain menjadikannya tarikan pelancongan bertaraf antarabangsa yang meningkatkan imej negeri di persada global,” katanya.