
MIRI: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Cawangan Miri telah menaik taraf dan membangunkan sistem siren tsunami baharu di Luak Esplanade sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan bencana di pesisir pantai Sarawak.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada penambahbaikan berterusan di bawah Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) yang bertujuan meningkatkan tahap kepekaan dan tindak balas pantas komuniti setempat terhadap sebarang kemungkinan ancaman tsunami.
Menurut METMalaysia, sistem siren yang telah dinaik taraf ini menawarkan keupayaan amaran yang lebih moden, efektif dan jelas, sekali gus memperkukuh keupayaan pengurusan bencana secara menyeluruh di kawasan berisiko tinggi seperti Miri.
Sebahagian daripada proses pengesahan keberkesanan sistem, pengujian siren tsunami akan dilaksanakan esok, 23 Mei 2025, bermula 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di lokasi siren, Luak Esplanade.
Sepanjang ujian berlangsung, siren akan dibunyikan pada tahap maksimum (full blast) dan diiringi mesej bersuara yang dijangka dapat didengari dalam radius sejauh 3 kilometer (km) dari lokasi siren.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik semasa proses pengujian dijalankan.
Ujian ini merupakan latihan berkala bagi memastikan fungsi sistem berada pada tahap optimum, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap prosedur keselamatan sekiranya berlaku situasi sebenar.
Sebanyak tiga unit siren tsunami telah dipasang di Bahagian Miri iaitu Luak Esplanade, Taman Awam MCC, bersebelahan Bangunan Bandaraya Miri dan Lutong, berhampiran New World Mart.
Usaha METMalaysia ini selari dengan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem amaran awal bencana negara, terutamanya di kawasan berisiko tinggi seperti kawasan pesisir pantai.
Penduduk sekitar Miri, khususnya yang tinggal di kawasan berhampiran pantai, disarankan agar sentiasa peka terhadap sebarang makluman rasmi daripada pihak berkuasa, dan memahami isyarat serta prosedur kecemasan berkaitan bencana alam.
Oleh Adum Liu