Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Sinners raih anugerah utama di Anugerah Screen Actors Guild
  • HIBURAN

Sinners raih anugerah utama di Anugerah Screen Actors Guild

Utusan Sarawak 6 hours ago
PELAKON British-Amerika Delroy Lindo (kiri) berucap bersama barisan pelakon Sinners termasuk Michael B. Jordan, Lola Kirke, Wunmi Mosaku, Miles Caton, Li Jun Li, Jayme Lawson dan Peter Dreimanis pada Anugerah Screen Actors Guild ke-32 di Shrine Auditorium, Los Angeles, pada 1 Mac 2026. Foto AFP

LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Sinners merangkul hadiah utama pada Anugerah Screen Actors Guild di Los Angeles pada Ahad, sekali gus merancakkan persaingan menjelang Anugerah Oscar dengan hanya dua minggu sebelum kemuncak musim anugerah Hollywood.

Pengiktirafan pada majlis yang dijenamakan semula sebagai Anugerah Aktor itu meraikan barisan pelakon sesebuah filem satu keputusan yang kadang-kadang menjadi petanda awal kejayaan, tetapi tidak semestinya, menjadi petanda kejayaan bagi kategori Filem Terbaik di Anugerah Akademi.

PELAKON Michael B. Jordan bergambar bersama anugerah Persembahan Cemerlang Pelakon Lelaki dalam Peranan Utama dan Persembahan Cemerlang Barisan Pelakon dalam Filem bagi Sinners. Foto AFP

Filem dongeng pontianak arahan Ryan Coogler yang mengangkat sejarah perkauman Amerika itu mencetus fenomena sepanjang musim anugerah dengan meraih rekod 16 pencalonan Oscar.

“Kami membawa hati, jiwa dan semangat kami ke dalam usaha ini,” kata Delroy Lindo, yang melakonkan watak pemuzik blues Delta Slim, ketika menerima anugerah bagi pihak barisan pelakon.

“Projek ini diberkati. Dari sudut itu, kami semua turut diberkati kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan luar biasa yang dicipta oleh genius Ryan Coogler.”

Ini kali pertama Sinners memenangi anugerah utama pada majlis praOscar, yang setakat ini banyak dimonopoli oleh One Battle After Another, termasuk di Anugerah Producers Guild pada Sabtu.

Filem One Battle After Another arahan Paul Thomas Anderson ialah sebuah thriller politik yang menampilkan Leonardo DiCaprio sebagai bekas revolusioner ketagih dadah yang terpaksa kembali beraksi apabila anak perempuan remajanya hilang.

Sinners mungkin mempunyai kelebihan dalam kalangan ahli SAG-AFTRA yang mewakili lebih 160,000 anggota namun kelebihan itu belum tentu berulang pada Anugerah Akademi dalam tempoh dua minggu lagi.

DELROY Lindo menerima Anugerah Persembahan Cemerlang oleh Barisan Pelakon dalam Filem bagi Sinners. Foto AFP

“Saya tidak begitu yakin ia akan memenangi Oscar bagi Filem Terbaik,” kata Scott Feinberg, kolumnis anugerah bagi The Hollywood Reporter, kepada AFP sebelum gala itu, selepas meramalkan kemenangan SAG.

“Kedua-dua anugerah itu hampir sama kerap dimenangi filem berbeza berbanding filem yang sama.”

Pengundian bagi Anugerah Akademi belum ditutup sehingga Khamis, bermakna keputusan Ahad mungkin memberi pengaruh.

Bagi Pelakon Lelaki Terbaik, Michael B. Jordan mencipta kejutan dalam kategori yang didominasi Timothée Chalamet (Marty Supreme) sepanjang musim ini.

“Saya amat berbesar hati dan bertuah dicalonkan bersama insan dan pelakon yang saya sayangi,” katanya.

“Perjalanan ini sungguh luar biasa.”

Bagi Pelakon Wanita Terbaik, tiada kejutan apabila nama Jessie Buckley diumumkan.

Pelakon Ireland itu membawakan watak isteri William Shakespeare yang bersedih atas kematian anak mereka dalam Hamnet, dan setakat ini memenangi hampir setiap anugerah yang dipertandingkan.

“Saya benar-benar berubah hasil pengaruh ramai orang di dalam dan di luar bilik ini,” kata Buckley penuh emosi.

Persaingan tidak menentu

Persaingan bagi Oscar Pelakon Pembantu Terbaik menjadi semakin terbuka selepas Anugerah Screen Actors Guild.

Amy Madigan membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi wataknya sebagai ibu saudara jahat dalam filem seram Weapons, susulan kejayaannya di Anugerah Critics Choice.

“Saya tidak menjangkakan ini, tetapi ia amat bermakna kerana datang daripada rakan-rakan seperjuangan,” katanya.

Anugerah utama kategori ini musim ini dimenangi individu berbeza Golden Globe kepada Teyana Taylor (One Battle After Another) dan BAFTA kepada Wunmi Mosaku (Sinners).

Bagi kategori lelaki, Sean Penn yang tidak hadir pada majlis menang menerusi wataknya sebagai Kolonel Lockjaw dalam One Battle After Another, selepas turut memenangi BAFTA.

Anugerah Critics Choice mengiktiraf Jacob Elordi untuk Frankenstein, manakala Golden Globe menjadi milik Stellan Skarsgard bagi Sentimental Value, yang tidak menerima pencalonan SAG.

Dalam kategori televisyen, anugerah didominasi satira Hollywood terbitan Apple TV, The Studio, yang memenangi tiga trofi termasuk anugerah anumerta kepada Catherine O’Hara yang meninggal dunia pada Januari.

Pencipta bersama siri itu, Seth Rogen, yang menerima anugerah bagi pihaknya, berkata beliau berasa bertuah dapat meluangkan masa bersama pelakon berkenaan — figura terkenal Hollywood yang dikenali menerusi Home Alone dan Schitt’s Creek.

Majlis itu turut memberi penghormatan kepada veteran Harrison Ford dengan anugerah pencapaian seumur hidup atas watak ikonik seperti Han Solo dalam francais Star Wars dan Indiana Jones.

“Saya amat bersyukur atas penghargaan ini. Namun sejujurnya, saya juga berasa rendah diri,” kata Ford, yang mencipta nama menerusi filem American Graffiti arahan George Lucas pada 1973.

“Saya berada dalam bilik penuh pelakon yang dicalonkan atas karya hebat mereka, manakala saya di sini menerima anugerah kerana masih hidup,” kata pelakon berusia 83 tahun itu, disambut gelak tawa hadirin. – AFP

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Lenggok India, irama Iban serlah keunikan Rajaram Raj
Next: Shakira adakan konsert percuma di Mexico untuk 400,000 penonton

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.