
LOS ANGELES: Filem seram berunsur sejarah bertemakan pontianak, Sinners, memecahkan rekod sepanjang zaman Anugerah Oscar apabila meraih 16 pencalonan, umum Akademi semalam.
Allegori perkauman berunsur blues arahan Ryan Coogler itu memperoleh pencalonan dalam hampir semua kategori utama, termasuk filem terbaik.
Menerusi pencapaian itu, Sinners mengatasi rekod terdahulu sebanyak 14 pencalonan yang sebelum ini dikongsi oleh Titanic, La La Land dan All About Eve.
Coogler memberitahu laman industri Deadline pencapaian pencalonan yang disifatkannya sebagai “agak gila” itu amat “memberi kepuasan.”

Sebagai sebuah filem Hollywood asli yang jarang dihasilkan dan tidak berasaskan mana-mana francais sedia ada, Sinners pada awalnya dipandang skeptikal oleh ramai pemain industri sebelum ditayangkan pada April, namun akhirnya muncul sebagai kejayaan global dengan kutipan AS$360 juta.
Coogler berkata beliau “tidak mempunyai sebarang jangkaan” terhadap anugerah, sambil menambah bahawa “orang ramai datang menonton dan berseronok di pawagam, itu sudah mencukupi.”
Namun, jumlah pencalonan yang besar itu termasuk pencalonan pelakon lelaki terbaik untuk Michael B. Jordan yang melakonkan watak pasangan kembar yang pulang ke kampung halaman di Selatan Amerika Syarikat yang masih berasingan pada era 1930-an, selain pencalonan dalam pelbagai kategori lain daripada skrip hingga skor muzik.


Terdapat juga pencalonan bagi pelakon pemilihan terbaik, kategori baharu pertama yang diperkenalkan dalam anugerah paling berprestij Hollywood itu dalam tempoh lebih dua dekad.
One Battle After Another berada di tempat kedua meraih 13 pencalonan, termasuk filem terbaik, pelakon lelaki terbaik untuk Leonardo DiCaprio dan pengarah terbaik untuk Paul Thomas Anderson.
Namun, pelakon utama wanitanya, pendatang baharu berusia 25 tahun, Chase Infiniti, secara mengejutkan tidak dicalonkan oleh pengundi Academy of Motion Picture Arts and Sciences.
Kedua-dua filem dengan jumlah pencalonan tertinggi itu diterbitkan oleh Warner Bros, studio filem yang kini menjadi sasaran perebutan bidaan antara Netflix dan Paramount.
Epik raksasa arahan Guillermo del Toro, Frankenstein, drama lakonan Timothée Chalamet Marty Supreme, serta Sentimental Value, masing-masing meraih sembilan pencalonan.
Hamnet, sebuah drama sejarah mengisahkan William Shakespeare dan isterinya berdepan kehilangan anak mereka di England era Elizabeth yang dilanda wabak, memperoleh lapan pencalonan.
Jessie Buckley dicalonkan menerusi wataknya sebagai Agnes, isteri Shakespeare yang tabah menanggung penderitaan, walaupun pelakon lelaki utama filem itu, Paul Mescal, terlepas pencalonan.
PERSAINGAN LAKONAN
Pencalonan ini membuka tirai kepada majlis Anugerah Oscar ke-98 yang dijadualkan berlangsung pada 15 Mac.


Walaupun Sinners mendahului jumlah pencalonan, One Battle kekal sebagai calon pilihan utama untuk memenangi filem terbaik selepas meraih hampir semua anugerah pendahulu sepanjang musim anugerah setakat ini.
Filem thriller mengenai seorang bekas revolusioner yang mencari anak perempuan remajanya, dengan latar keganasan radikal, serbuan imigresen dan kumpulan pelampau kulit putih, turut memecahkan rekod pencalonan sepanjang zaman oleh Kesatuan Pelakon Skrin Hollywood.
DiCaprio, Chalamet dan Jordan akan bersaing merebut Oscar pelakon lelaki terbaik, bersama Ethan Hawke untuk drama era Broadway Blue Moon, serta Wagner Moura menerusi filem thriller politik Brazil The Secret Agent.
Bagi kategori pelakon wanita terbaik, Buckley akan bersaing dengan Emma Stone yang melakonkan watak makhluk asing dalam drama teori konspirasi Bugonia, Renate Reinsve dalam Sentimental Value, Kate Hudson dalam biopik muzik unik Song Sung Blue, dan Rose Byrne sebagai seorang ibu yang bergelut dalam filem indie popular If I Had Legs I’d Kick You.
PENGUNDI ANTARABANGSA
Seiring perkembangan pesat pengundi Akademi di luar negara, Sentimental Value dan The Secret Agent masing-masing turut dicalonkan bagi kategori filem terbaik.
Namun, pemenang Palme d’Or berbahasa Parsi It Was Just An Accidentterlepas pencalonan kategori utama dan sebaliknya akan bersaing dalam kategori filem antarabangsa terbaik, bersama Sirat serta drama dokumentari Palestin yang menyayat hati The Voice of Hind Rajab.
Bintang pop terkenal Ariana Grande secara mengejutkan gagal memperoleh pencalonan pelakon pembantu wanita terbaik bagi peranannya sebagai Glinda dalam Wicked: For Good, yang tidak menerima sebarang pencalonan.
Presiden Akademi yang baharu dilantik, Lynette Howell Taylor, membuka pengumuman awal pagi di Los Angeles dengan amaran mengenai ancaman kecerdasan buatan.
“Kita hidup dalam zaman teknologi tanpa batas yang membolehkan kita menolak sempadan pengalaman sinematik,” katanya. – AFP