SINGAPURA/BANGKOK: Pencalonan Kebaya yang berjaya tersenarai dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO – pencalonan bersama oleh lima negara Asia Tenggara – adalah satu pencapaian yang perlu diraikan, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura, Edwin Tong.
Tong yang juga merupakan Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan Singapura untuk UNESCO, menambah bahawa pengiktirafan Kebaya menonjolkan kepentingan budaya dan mempromosikan perpaduan merentas budaya di Singapura dan rantau ini.
“Ia menandakan pencalonan multinasional pertama Singapura dan merupakan yang terbesar di Asia Tenggara setakat ini, dari segi bilangan negara pencalonan, melibatkan usaha kerjasama antara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.
“Buat pertama kalinya, lima negara ini telah berganding bahu untuk mengiktiraf kebaya sebagai simbol sejarah dan identiti budaya kita bersama,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB).
Dalam satu hantaran di Facebook, Tong menyatakan bahawa Kebaya mewakili kepelbagaian budaya Asia Tenggara dan hubungan serantau.
“Kebaya bukan sekadar pakaian; ia adalah tradisi hidup yang mencerminkan sejarah, identiti dan seni. Setiap komuniti pemakai Kebaya dengan gaya jahitan dan sulaman yang unik menonjolkan unsur budaya mereka dan warisan bersama,” tambahnya.
Kebaya: Pengetahuan, Kemahiran, Tradisi dan Amalan itu telah dimasukkan ke dalam senarai pada sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang diadakan di Asuncion, Paraguay, semalam.
Pencalonan ini memenuhi semua lima kriteria penilaian yang digunakan oleh IGC.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kebudayaan Thailand Sudawan Wangsuphakijkosol menyambut baik pengiktirafan Kebaya dan menyatakan bahawa Malaysia memulakan pencalonan itu pada awal 2022, menyelaraskan dengan Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand untuk menyediakan dokumen yang diperlukan dengan input daripada komuniti masing-masing.
“Komuniti pengamal dan wakil dari lima negara ini telah menyertai bengkel pertama pada November 2022 di Port Dickson, Negeri Sembilan, Malaysia.
“Mereka bertukar idea, mencadangkan langkah-langkah untuk mempromosikan dan melindungi Kebaya dan bekerja untuk menyediakan dokumentasi yang diperlukan untuk pencalonan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu selepas pengumuman itu.
Bengkel kedua pada Februari 2023 di Jakarta, Indonesia, dan mesyuarat dalam talian yang dianjurkan oleh Singapura memuktamadkan dokumen pencalonan, yang kemudiannya dihantar ke UNESCO pada Mac 2023 untuk agenda 2024.
Menerangkan kepentingan Kebaya, Sudawan menggambarkannya sebagai blaus tradisional dengan belahan depan, yang biasanya dihiasi dengan sulaman dan renda yang rumit.
“Kebaya adalah sebahagian daripada pakaian harian untuk pelbagai acara, serta acara rasmi dan perayaan. Ia mencerminkan sejarah dan tradisi bersama rantau ini, menonjolkan kepelbagaian budaya dan menyokong matlamat pembangunan mampan seperti pendidikan berkualiti, kesetaraan gender, pertumbuhan ekonomi inklusif serta memupuk keamanan dan keharmonian dalam masyarakat,” katanya.
Sudawan juga melahirkan rasa gembira kerana Kebaya, yang sering diraikan sebagai pakaian elegan Asia Tenggara, kini telah menyertai senarai warisan UNESCO pada tahun yang sama dengan Tom Yum Kung.
Beliau berkata Kebaya kini menjadi item keenam Thailand dalam Senarai Perwakilan, selepas Khon (drama tarian bertopeng), Nuad Thai (urut tradisional Thai), Nora (drama tarian dari selatan Thailand) dan Songkran (perayaan Tahun Baru Tradisional Thailand). – Bernama