
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) telah memanggil balik dua lagi produk susu formula masing-masing untuk bayi dan kanak-kanak berusia satu tahun ke atas selepas pengesanan toksin cereulide.
Dalam kenyataan bersama dengan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), SFA memaklumkan produk berkenaan ialah ‘Nestle NAN HA2’ dari Switzerland dan ‘Nature One Dairy Organic Toddler Milk Formula – Stage 3’ dari Australia.
“Sejak kemas kini terakhir kami pada 30 Januari, tiada kes tambahan yang mengalami simptom ringan yang berkemungkinan berkaitan dengan pendedahan kepada cereulide selepas mengambil produk terjejas. Kesemua tiga kes terdahulu telah pun pulih.
“Ketika ini, tiada ujian makmal klinikal muktamad tersedia untuk mengesahkan keracunan cereulide,” menurut kenyataan itu hari ini.
CDA kini bekerjasama rapat dengan SFA dan telah menjalankan pemantauan bersama pengamal perubatan bagi memantau kemungkinan kes keracunan cereulide dalam kalangan kanak-kanak.
Menurut CDA, kelompok produk susu formula bayi import yang terlibat itu merangkumi kira-kira lima peratus daripada jumlah bekalan susu formula bayi yang diimport ke Singapura.
“Ia merupakan sebahagian kecil daripada keseluruhan produk susu formula bayi yang terdapat di Singapura.
“Bagi kelompok produk susu formula untuk kanak-kanak berusia satu tahun ke atas yang terlibat, ia hanya mewakili bahagian yang sangat kecil daripada bekalan keseluruhan pasaran, dengan pilihan alternatif yang sedia ada,” tambahnya.- Bernama