
PETRA JAYA: Singapura merancang untuk membuka pejabat konsulat di Kuching dan Kota Kinabalu sebagai usaha memperkukuh hubungan rakyat serta meningkatkan kerjasama ekonomi dan pelancongan antara kedua-dua negara.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon berkata, pembukaan pejabat konsulat berkenaan disasarkan untuk mula beroperasi selewat-lewatnya menjelang pertengahan tahun ini.
“Kerajaan Malaysia telah memberi kami kelulusan untuk membuka konsulat di Kuching dan Kota Kinabalu. Kelulusan itu, telah diterima pada akhir November tahun lepas.
“Berikutan itu, saya memutuskan untuk melawat Kuching dan Kota Kinabalu kemudian untuk melihat sendiri, bagi mengenal pasti beberapa lokasi berpotensi untuk menubuhkan konsulat.
“Kami akan melawat pelbagai tempat di Kuching serta Kota Kinabalu untuk mendapatkan gambaran di mana kami boleh menempatkan konsulat itu, sekurang-kurangnya sebagai titik permulaan sementara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.

Vanu menambah, selepas mengenal pasti tempat itu, pihaknya berharap akan mendapat kelulusan daripada Kementerian Luar Malaysia dan menghantar wakil untuk menguruskan pejabat konsulat berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata perdagangan antara Sarawak dan Singapura menunjukkan perkembangan positif, sekali gus memerlukan kehadiran wakil Singapura di lapangan bagi memudahkan kerjasama ekonomi yang lebih erat.
Vanu yakin kehadiran konsulat Singapura di Kuching kelak akan memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan aliran pelawat dan interaksi antara rakyat kedua-dua negara.
Turut hadir semasa kunjungan hormat ini ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Malaysia Dato Fenny Nuli, Kaunselor Politik Singapura Charlene Chan dan Setiausaha Politik Valerie Lim.
-UKAS