KUCHING: Singapura berminat untuk membeli sebahagian daripada kuasa hidroelektrik dari Sarawak.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni berkata sumber tersebut akan disalurkan melalui kabel dasar laut yang akan menghubungkan Kuching ke Singapura.
“Kami kini dalam proses rundingan dan juga persiapan awal. Antara langkah pertama ialah membuat tinjauan projek kabel dasar laut.
“Untuk beberapa bulan akan datang, kami akan dapat meneruskan perancangan ini lebih jauh dan ini adalah kerjasama yang sangat baik antara Singapura dan Sarawak.
“Sarawak merupakan negeri kaya dengan sumber, terutamanya tenaga hijau dan hidroelektrik yang terdapat di empat empangan besar di Sarawak iaitu Bakun, Batang Ai, Murun dan Baleh yang sekarang dalam pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Eksekutif Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura, Ngiam Shih Chun dan rombongannya di Baitul Makmur, di sini hari ini.
Hazland berkata, ini akan menjanjikan masa depan yang baik untuk industri kuasa dan itu juga selaras dengan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC).
Katanya, pelan induk menghubungkan semua negara ASEAN melalui grid ASEAN, memberi kelebihan kerana Sarawak akan mampu menjadi pemain utama dalam sektor ini.
Oleh Mohd Neenatul Aizal