Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Sindrom Catamenial: Batuk berdarah ketika haid bukan sekadar jangkitan paru-paru
  • KESIHATAN

Sindrom Catamenial: Batuk berdarah ketika haid bukan sekadar jangkitan paru-paru

Utusan Sarawak 6 hours ago
GAMBAR hiasan

KUALA LUMPUR: Gejala batuk berdarah sering kali dikaitkan dengan penyakit serius seperti tuberkulosis (tibi), jangkitan kuman bronkitis dan kanser paru-paru.

Namun bagi golongan wanita, simptom itu dalam kes yang jarang berlaku sebenarnya boleh berpunca ketika kitaran haid menerusi keadaan yang dikenali sebagai Sindrom Catamenial atau Thoracic endometriosis syndrome (TES).

Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif Pusat Perubatan Prince Court Dr Maiza Tusimin berkata keadaan itu berlaku apabila tisu endometriosis yang lazimnya melapisi rahim, tumbuh di bahagian rongga dada atau paru-paru, sekali gus menyebabkan pendarahan mengikut kitaran haid.

Beliau berkata kes sedemikian memerlukan perhatian perubatan yang tepat bagi mengelakkan komplikasi serius termasuk kerosakan paru-paru kekal akibat pembentukan parut (fibrosis), jangkitan kuman (empyema) serta risiko anemia akibat kehilangan darah yang berterusan jika tidak dirawat.

Dr Maiza ketika mengimbas pengalamannya berkhidmat di Hospital Serdang sekitar 10 tahun lepas berkata beliau pernah mengendalikan satu kes melibatkan seorang pesakit yang hadir dengan simptom sesak nafas dan batuk berdarah.

“Apa yang menarik perhatian ialah gejala itu hanya berlaku setiap kali pesakit didatangi haid. Corak simptom yang berulang mengikut kitaran haid menimbulkan syak kepada TES,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pesakit itu kemudiannya dirujuk kepada pakar pernafasan untuk penilaian lanjut sebelum diagnosis disahkan melalui biopsi tisu semasa prosedur Pembedahan Torakoskopik Berbantu Video (VATS).

“Hasil biopsi menunjukkan kehadiran tisu endometriosis di saluran pernafasan. Ini membuktikan endometriosis bukan sahaja boleh berlaku di kawasan pelvis, malah boleh menjejaskan bahagian lain termasuk paru-paru,” katanya.

Kementerian Kesihatan memaklumkan endometriosis ialah lapisan endometrium (tisu dinding rahim) yang menebal secara aktif mengikut kitaran haid, berada di luar dinding rahim seperti ovari dan dinding pelvis, dan tisu itu berdarah semasa haid, sekali gus menyebabkan pelbagai masalah kronik seperti senggugut teruk.

Dr Maiza berkata antara teori perubatan ialah fenomena menstruasi retrograde, iaitu sel endometrium mengalir secara songsang dari rahim melalui tiub fallopio ke rongga abdomen, sebelum memasuki rongga dada melalui kecacatan diafragma.

Selain itu, sel endometrium juga dipercayai boleh merebak melalui saluran darah atau sistem limfa (benign metastasis) serta proses metaplasia sel (coelomic metaplasia), iaitu perubahan sel pada lapisan paru-paru (pleura) menjadi sel endometrium akibat pengaruh hormon.

Menurut Dr Maiza, apabila tisu endometriosis berada di dalam rongga dada, ia tetap bertindak balas terhadap perubahan hormon seolah-olah ia berada di dalam rahim.

“Keadaan itu boleh menyebabkan pesakit mengalami batuk berdarah (catamenial hemoptysis) jika melibatkan saluran pernafasan, atau paru-paru kempis (catamenial pneumothorax) jika melibatkan lapisan pleura,” katanya, sambil menambah simptom lazimnya dikesan antara 24 dan 48 jam sebelum haid atau dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas haid bermula.

Mengenai rawatan pula, beliau berkata pendekatan awal biasanya melibatkan terapi hormon termasuk pil perancang kombinasi, suntikan progestin atau hormon jenis GnRH agonist atau antagonist.

“Prosedur lazimnya melibatkan VATS untuk membuang tisu endometriosis dan membaiki kecacatan diafragma. Pendekatan terbaik berdasarkan kajian ialah dengan gabungan pembedahan dan rawatan hormon untuk mengurangkan risiko berulang,” katanya.

Sementara itu, seorang pesakit, Aisah Saleh, 38, berkata penderitaan misteri yang dialaminya sejak remaja hanya terjawab pada Januari 2021 selepas disahkan menghidap Catamenial pneumothorax.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata sebelum diagnosis, beliau sering mengalami kesakitan, sukar bernafas serta sakit pada bahagian kanan dada setiap kali datang haid sehingga hampir pitam.

“Saya hanya bergantung pada ubat tahan sakit dan tidur seketika untuk mengurangkan kesakitan. Keadaan menjadi semakin kronik seiring peningkatan usia sebelum pemeriksaan sinar-X dan imbasan CT mendedahkan punca sebenar.

“Doktor menjelaskan risiko penyakit itu seperti paru-paru bocor boleh membawa maut jika bekalan oksigen tidak sampai ke organ penting,” katanya, yang telah menjalani pembedahan VATS pada 23 September tahun lepas.

Aisah mengakui penyakit itu amat menjejaskan kualiti hidup serta kerjayanya kerana pergerakan fizikal menjadi terbatas akibat kesakitan yang dialami setiap bulan.- Bernama

Continue Reading

Previous: Lelaki lebih cenderung hadapi masalah rabun warna – Pakar
Next: Konflik Asia Barat: bekalan ubat negara stabil, pasukan petugas ditubuh pantau impak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.