
MIRI: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’ atau penghantar dadah serta merampas sejumlah dadah jenis syabu dan ganja dianggarkan bernilai RM238,801 di Miri.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang memeriksanya di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Miri sekitar 10.40 malam, 4 Ogos lalu.
“Pada pemeriksaan tersebut, pihak polis telah merampas satu beg galas berisi anggaran 6,400 gram dadah disyaki methamphetamine (syabu) dan 66.7 gram dadah disyaki ganja yang dianggarkan jumlah keseluruhan lebih kurang bernilai RM238,801.00.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan untuk 6,466 orang penagih,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ruai Kenyalang IPD hari ini.
Menurut Farhan, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah methamphetamine dan mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah mendapatkan bekalan daripada ahli sindiket dadah dari Semenanjung Malaysia.
“Suspek adalah merupakan penghantar dadah dengan menerima upah sebanyak RM8,000 untuk sekali penghantaran dadah. Dadah adalah untuk pasaran Miri dan daerah bersekitaran,”katanya.
Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 5 Ogos hingga 12 Ogos ini untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan,”ujarnya.
Farhan mengucapkan terima kasih kepada masyarakat awam kerana telah menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah sehingga tangkapan berjaya dibuat.
Beliau menggesa masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dadah.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha memerangi penyalahgunaan serta pengedaran dadah ini,” katanya.
Maklumat boleh disalurkan melalui JSJN di talian 012-087222 dan juga IPD Miri iaitu di talian 085-432 222.
Oleh Liong Chai Ling