DALAM kekelaman bawaan pandemik Covid-19 yang sedang menyelubungi seluruh dunia, penerjun Malaysia Pandelela Rinong ak Pamg membawa berita yang berupa secarik sinar yang menyimbahi setiap jiwa.
Gadis berusia 28 tahun yang berasal dari Kampung Jugan, Bau, Sarawak ini, muncul sebagai satu-satunya atlet kontinjen Malaysia yang telah meraih pingat emas dalam acara sukan air di Fina Diving World Cup 2021 pada 5 Mei lepas.
Sudah tentulah kebanggaan kita semua memuncak apabila memikirkan bahawa sosok seorang gadis berketinggian 159 sentimeter (lima kaki tiga inci) itu muncul gah dengan menepiskan penerjun tuan rumah Matsuri Arai dari Jepun ke tangga kedua dan meninggal jauh mata perolehan oleh Caeli McKay dari Kanada di Tokyo Aquatic Centre.
“Pande Lela,” seloroh seorang sahabat dalam loghat Melayu Sarawak, dengan pujian menggunung terhadap gadis yang lahir pada 2 Mac 1993 di Kampung Jugan, Bau itu.
Saya kira sahabat saya itu sebenarnya menyindir saya yang selalu menyalahejakan nama Pandelela Rinong sebagai PANDALELA.
“Untuk kau supaya ingat ejaan betul namanya, sentiasa ingatlah ungkapan saya ini ‘pande Lela’. Yang engkau nak kaitkan nama agam itu dengan ‘panda’ buat apa?” usiknya berterusan.
Begitulah, Pandelela Rinong yang berjaya besar di persada dunia dalam kegiatan yang diminatinya secara mendalam.
Prestasinya meningkat dalam cara yang gemilang sekali. Ketika dia mewakili Malaysia pada Olimpik Musim Bunga pada 2008 dia muncul di tangga ke-27 dalam acara terjun 10 meter platform.
Pada tahun 2010 dia menang pingat emas di Sukan Komanwel.
Pada 16 Julai 2019 Pandelela Rinong merupakan penerjun Malaysia yang mara ke final di Kejohanan Terjun Dunia ke-18 di Gwangju, Korea Selatan.
Meraih slot kedua di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo menerusi acara 10 meter platform individu.
Tidak mengapalah kritikan-kritikan yang pelbagai yang muncul selepas kejayaan beliau itu.
Jawapan Pandelela bahawa yang utama baginya ialah kejayaannya dalam acara yang beliau tekuni, minati dan iltizami.
Apa jua bentuk pengiktirafan terserah kepada perspektif masing-masing pihak.
Ikhtibar signifikan sebalik kejayaan Pandelela ini untuk kita semua ialah lakukan apa jua yang kita idamkan.
Tumpukan sepenuh perhatian dan iltizam sepenuh jiwa raga, dan raihlah kejayaan semampu upaya.
Teringat saya kepada ungkapan Pak Sako: Nama yang harum tak payah dicari, jika layak (ia) datang sendiri.