JOHOR BAHRU: Kebenaran untuk rakyat Malaysia berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura bagi urusan pekerjaan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bukan sahaja melegakan rakyat malah dijangka membantu memacu dan melonjakkan kembali sektor ekonomi kedua-dua buah negara.
Menyambut baik keputusan itu, Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata pengumuman tersebut juga disifatkan sebagai “sinar di hujung terowong” selepas rakyat melalui kehidupan yang penuh cabaran hampir tiga bulan ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.
“Saya percaya keputusan Kerajaan Persekutuan membenarkan semula rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura dibuat demi kepentingan ekonomi kedua-dua negara serta kelangsungan hidup rakyat Malaysia yang bekerja di negara berkenaan.
“Sememangnya Malaysia dan Singapura saling memerlukan antara satu sama lain, apatah lagi sebagai negara berjiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Hasni berkata, sebelum PKP dianggarkan antara 200,000 hingga 250,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari sama ada menerusi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) untuk pergi bekerja di Singapura dalam pelbagai sektor, antaranya perkilangan, perhotelan dan perkhidmatan yang lain.
Namun katanya, keputusan kerajaan Malaysia menguatkuasakan PKP dan pelaksanaan Circuit Breaker bermula 7 April lalu oleh Singapura telah mengakibatkan sebahagian besar daripada rakyat Malaysia yang bekerja di republik tersebut kehilangan sumber pendapatan
“Kerajaan negeri akan sentiasa membantu dan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Singapura bagi memudahkan semua urusan yang diperlukan supaya proses tersebut berjalan lancar,” tambahnya.
Menurut Hasni, Johor menerima pelaburan dalam sektor perkilangan dari Singapura bernilai RM19.423 billion sejak 20 tahun lepas bermula 1999.
“Pada 2019, nilai pelaburan dari Singapura melonjak sebanyak 51.47 peratus iaitu RM1.68 bilion.
“Trend pelaburan dari Singapura telah menunjukkan signifikasi yang positif dan merupakan antara negara penyumbang pelaburan terbanyak di negeri Johor,” katanya.
Beliau berkata, antara faktor yang menarik pelaburan dari Singapura adalah lokasi republik tersebut yang berhampiran negeri Johor serta keadaan geopolitik dan persekitaran perniagaan yang hampir sama antara Malaysia dan Singapura.
Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan negeri turut menyambut baik pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok yang membenarkan lebih banyak sektor dibuka semula secara berperingkat. – Bernama