
LIMBANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Limbang telah berjaya melaksanakan satu latihan amal kesiapsiagaan menghadapi bencana melibatkan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot, memaklumkan bahawa latihan simulasi tersebut melibatkan insiden sebuah pesawat mengalami kemalangan di landasan Lapangan Terbang Limbang yang mengakibatkan sembilan mangsa terkorban manakala 26 penumpang lain cedera parah.
“Insiden kemalangan ini hanya simulasi, namun ia direka menyerupai situasi sebenar termasuk reaksi panik, tangisan ahli keluarga mangsa dan usaha kecemasan menyelamat mangsa yang cedera parah,” katanya.
Menurut beliau, antara objektif utama latihan ini adalah untuk menguji keberkesanan sistem komunikasi pusat kawalan kecemasan, kecekapan pasukan perubatan, kecekapan pasukan bomba dan polis, serta kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan.

Latihan realistik ini turut melibatkan aksi dramatik ahli keluarga mangsa yang cuba merempuh kawasan lapangan terbang bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai penumpang yang terlibat, menambahkan elemen tekanan yang perlu dihadapi oleh petugas barisan hadapan dalam situasi sebenar.
Superintenden Parum menegaskan bahawa latihan sebegini akan terus diadakan dari semasa ke semasa sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan dan tanggungjawab sosial agensi keselamatan serta pengurusan bencana.
Turut hadir Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, Tawang Lingem dan Pengurus Lapangan Terbang Limbang, Shaziana Mohd Sahrill.
Oleh Adeng Edrus