SIMANGGANG: Masalah yang dihadapi oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Masjid Lama Kampung Tengah selama ini akhirnya telah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi.
Ia terbukti apabila wakil rakyat wanita berkenaan bertindak melawat pusat ibadah tersebut menerusi Program Ziarah Kasih bagi mengambil tahu permasalahan sebenar yang dihadapi oleh jawatankuasa pengurusan tersebut pada petang Isnin lepas.
“Hasil lawatan tersebut mendapati bahawa Masjid Lama Kampung Tengah, Bandar Simanggang sedang menghadapi masalah tekanan air rendah dan ada kalanya ketiadaan air langsung sehingga menyukarkan jemaah untuk menunaikan ibadat solat sebelum ini.
“Justeru saya akan mempertimbangkan penyediaan tangki dan pam air di Masjid Lama Kampung Tengah seperti yang dimohon oleh jawatankuasa pengurusannya untuk kegunaan para jemaah sebelum perayaan Hari Raya Aidiladha kelak,” katanya.
Selain memantau masalah di masjib tersebut, Simoi bersama rombongan turut mengambil kesempatan melawat seorang wanita warga iaitu Ramlah Abdullah atau lebih dikenali Abok Ison dalam kampung berkenaan yang kini sedang mengalami sakit tua.
Beliau menerusi lawatan berkenaan juga mendapati bahawa wanita warga emas berkenaan kini tinggal di rumah yang terlalu daif dan perlu tindakan baik pulih dalam kadar segera.
“Saya akan mempertimbangkan permohonan untuk membaik pulih kediaman Abok Ison di bawah Projek Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) seperti yang diminta oleh anak-anak menerusi sesi lawatan tersebut,” kata Simoi.
Terdahulu beliau pada sesi lawatan berkenaan juga turut mempertimbang permintaan nelayan untuk membina kemudahan jeti kayu tebelian dan juga lorong simen demi kemudahan nelayan di perkampungan tersebut.
Oleh Valentine Ngumbang